DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sempurnakan Pelancaran Pembangunan Stesen KTM Ipoh, ETS 2 : 10 Oktober 2019

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sempurnakan Pelancaran Pembangunan Stesen KTM Ipoh, ETS 2

DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan melancarkan Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh (iRide).

IPOH, 10 OKTOBER 2019 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh (iRide) berasaskan konsep pembangunan berasaskan transit (TOD).

Baginda turut melancarkan perkhidmatan tren elektrik terbaru, ETS2 yang menawarkan koc perniagaan disediakan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Turut berangkat DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu dan YB Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Haji Zainal Azman Bin Abu Seman.

Dalam ucapannya, YB Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, kawasan seluas 78 hektar di sekitar stesen dan jajaran kereta api di Ipoh dikenal pasti bagi pelaksanaan projek pembangunan TOD itu.

Beliau berkata, projek kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) juga akan membangunkan kawasan seluas 27 hektar secara bersepadu dan diintegrasi dengan hab pengangkutan.

“Pembangunan di kawasan ini dipecahkan mengikut segmen tertentu merangkumi perumahan termasuk mampu milik, hotel, institusi pendidikan, komersial, kawasan hijau dan bercampur bagi memastikan pembangunan ini seimbang dan komprehensif,” ujar beliau.

Tambah beliau, perkhidmatan ETS2 pula menyediakan koc kelas perniagaan yang lebih selesa dan kondusif untuk penumpang.

“Pada masa depan, KTMB merancang meningkatkan perkhidmatan ETS kepada 50 perkhidmatan sehari bagi membolehkan 5.7 juta penumpang menggunakan ETS setahun atau 15,600 penumpang sehari,” ujar beliau.

Koc perniagaan yang dilancarkan itu dilengkapi kemudahan tempat duduk luas dan selesa berbanding koc biasa selain perkhidmatan pramugara serta pramugari secara eksklusif. 

Penumpang dalam gerabak itu turut akan ditawarkan kemudahan khas seperti kit perjalanan, Audio Video-On-Demand (AVoD) serta port USB. 

Dalam pada itu, dengan pengenalan koc perniagaan berkenan, KTMB turut mengumumkan harga tiket promosi RM50 untuk dewasa bagi perjalanan sehala antara KL Sentral dan Ipoh, Perak, manakala RM112 bagi perjalanan KL Sentral-Padang Besar, Perlis dan promosi itu sah bagi perjalanan di antara 11 Oktober sehingga 30 November 2019. 

Sementara warga emas, pesara kerajaan dan isteri, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun pula layak menerima diskaun konsesi, manakala kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun (tanpa tempat duduk) tidak dikenakan sebarang bayaran.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung ETS2 di laman sesawang rasmi KTMB, www.ktmb.com.my atau ktmberhad (Facebook), ktmbofficial (Instagram), @ktm_berhad (Twitter) atau menerusi Pusat Panggilan 24 jam KTMB di talian 03-22661200.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sempurnakan Pelancaran Pembangunan Stesen KTM Ipoh, ETS 2 DYMM Paduka Seri Sultan Perak bersalaman dengan tetamu yang hadir.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sempurnakan Pelancaran Pembangunan Stesen KTM Ipoh, ETS 2 YAB Menteri Besar Perak menyampaikan ucapan semasa pelancaran Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh (iRide).
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sempurnakan Pelancaran Pembangunan Stesen KTM Ipoh, ETS 2 DYMM Paduka Seri Sultan Perak bergambar bersama tetamu di majlis tersebut.

Sumber : Korporat, SUK Perak.