Taiping Laksana Projek Rintis Bandar Mesra Usia : 30 Oktober 2019

Taiping Laksana Projek Rintis Bandar Mesra Usia

YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail ketika berucap pada Majlis Projek Rintis Age-Friendly@Taiping.

TAIPING, 30 OKTOBER 2019 - Taiping dipilih menjadi bandar pertama di negara ini untuk pelaksanaan fasa pertama projek rintis ‘Age-Friendly City @Taiping’ atau Taiping Bandar Mesra Usia.

YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail berkata, projek rintis itu melibatkan proses perancangan pembangunan yang dijangka mengambil masa selama dua tahun.

“Melihat kepada jangkaan senario kependudukan negara bagi tahun-tahun akan datang, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama kerajaan Perak, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Tabung Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNDP) telah melakukan kajian sejak September lepas bagi projek itu di mana Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan perunding utama.

“Buat masa ini, kerajaan menerima suntikan dana sebanyak US$267,000 (RM1.1 juta) daripada UNDP bagi fasa pertama sehingga 2020 untuk kajian menyeluruh terhadap status semasa Taiping sebagai bandar mesra usia berpandukan kepada garis panduan antarabangsa yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran projek rintis berkenaan yang turut dihadiri YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said di Hotel Grand Baron.

Beliau berkata, hasil kajian menyeluruh itu akan diasimilasikan untuk membangunkan Kerangka Menyeluruh Kebangsaan yang  disesuaikan mengikut keperluan tempatan yang boleh diadaptasi di tempat-tempat lain.

“Projek ini juga merupakan satu instrumen untuk menggabungkan peranan setiap individu dalam komuniti dan masyarakat setempat agar persekitaran yang didiami adalah bebas halangan dan selamat dengan  mewujudkan sistem sokongan yang berkesan,” kata beliau.

Tegas beliau, KPWKM mengharapkan  agar konsep bandar mesra usia itu dapat diperluaskan ke seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri beserta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perak dijangka menjadi negeri tertua di Malaysia pada tahun 2020 apabila jumlah warga emas mencapai 385,000 orang atau 14.9 peratus daripada jumlah penduduk yang diunjurkan seramai 2.6 juta.

Tambah beliau, merujuk kepada unjuran data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, negara akan mencapai status negara tua, atau aged nation menjelang tahun 2030 apabila dijangkakan 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk berumur 60 tahun dan ke atas.

“Ini bermakna populasi warga emas Malaysia pada ketika itu adalah 5.8 juta orang berbanding anggaran jumlah penduduk seramai 38.1 juta,” kata beliau.

YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail berkata, menurut WHO, peratusan warga emas yang akan berhijrah atau tinggal di bandar- bandar adalah sama dengan warga muda iaitu pada 80 peratus dan dijangka akan meningkat pada kadar yang sama.

“Lebih ramai warga emas dijangka akan tinggal di kawasan bandar menjelang tahun 2050 mewakili satu per empat daripada jumlah populasi di kawasan bandar di negara membangun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Wakil Residen UNDP, Niels Knudsen berkata, ketika  bandar di dunia terus berkembang, mewujudkan laluan yang lebih mampan bergantung kepada pengelolaan pertumbuhan bandar yang berjaya.

"Oleh itu, kami sangat teruja dengan prospek projek bandar mesra usia ini, dan berpotensi untuk menggunakan pengalaman  di Taiping sebagai makluman dasar bahawa  negara seperti Malaysia bersedia untuk masa depan," kata beliau.

Taiping Laksana Projek Rintis Bandar Mesra Usia YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Abu Bakar Bin Haji Said turut berucap pada Majlis Projek Rintis Age Friendly City@Taiping.
Taiping Laksana Projek Rintis Bandar Mesra Usia YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail ketika melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Projek Rintis Age-Friendly@Taiping.

Taiping Laksana Projek Rintis Bandar Mesra Usia

YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail menyampaikan sijil penghargaan rakan strategi kepada YDP MPT, Tuan Borhan Bin Abdul Halim selepas pelancaran majlis berkenaan.
Taiping Laksana Projek Rintis Bandar Mesra Usia YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Wan Azizah Binti Wan Ismail bersama pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Pelancaran Projek Rintis Age-Friendly@Taiping.
Taiping Laksana Projek Rintis Bandar Mesra Usia Antara tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Projek Rintis 'Age-Friendly City@Taiping di Hotel Grand Baron.

Sumber : Korporat, SUK Perak.