Peniaga Makanan Diminta Budayakan Keselamatan Makanan : 14 November 2019

Peniaga Makanan Diminta Budayakan Keselamatan Makanan

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Zainal Azman Bin Abu Seman ketika berucap pada majlis perasmian Projek Transformasi Keselamatan Makanan
Medan Selera PBT.

IPOH, 14 NOVEMBER 2019 - Para peniaga diseru untuk membudayakan keselamatan makanan agar dapat meningkatkan lagi kemasukan pelancong ke negeri Perak, terutamanya pada hujung minggu.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Zainal Azman Abu Seman berkata selain pihak berkuasa tempatan (PBT), semua pihak termasuk pelanggan juga perlu bersama-sama memastikan kebersihan makanan dijaga.

"Kita perlu bersama-sama pastikan kebersihan makanan dijaga bukan sahaja penguatkuasaan oleh pihak PBT dan Jabatan Kesihatan tapi budaya keselamatan makanan perlu daripada pengusaha dan pelanggan.

"Namun tidak dinafikan masih ada infrastruktur yang belum cukup seperti tong sampah, tempat basuh tangan dan tandas. Perkara ini juga perlu diberi perhatian oleh pihak PBT," ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Projek Transformasi Keselamatan Makanan Medan Selera PBT Perak 2018/2019 di Dewan Bandaraya Ipoh.

Hadir sama YBhg Datuk Bandar Ipoh, Dato' Ahmad Suaidi Bin Abdul Rahim dan Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dato' Dr Ding Lay Ming.

Beliau berkata, dalam majlis yang berlangsung, seramai 78 pengusaha medan selera PBT di negeri ini menerima anugerah Bersih, Sihat dan Selamat (BeSS).

Selain itu, ujar beliau, setakat ini, tahap kebersihan premis makanan di Perak melebihi 85 peratus.

"Pengiktirafan BeSS diberikan kepada premis makanan yang mengekalkan premis bersih iaitu markah diberikan mestilah melebihi 85 peratus.

"Pengusaha makanan ini juga perlu menyediakan makanan yang sihat dan dalam saiz hidangan yang betul mengikut keperluan yang telah ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, pada majlis yang berlangsung, Medan Selera Laksa dan Cendol, Kuala Kangsar telah diumumkan sebagai pemenang Anugerah Transformasi Medan Selera Terbaik 2018/2019.

Manakala bagi Anugerah Transformasi Medan Selera 360 2018/2019 telah dimenangi oleh Medan Selera Dato' Sagor, Ipoh dan Medan Selera Jalan Maharaja, Bagan Serai.

Bagi Anugerah Anugerah Pengurusan Transformasi Medan Selera PBT terbaik 2018/2019 pula telah dimenangi oleh

Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).

Sementara itu, untuk Anugerah Medan Selera Wilayah BeSS 2018/2019 ia telah dimenangi oleh Medan Selera Dato' Sagor (Ipoh), Medan Selera Jalan Maharaja (Bagan Serai), Medan Selera Muallim (Tanjung Malim) dan Medan Selera Laksa dan Cendol (Kuala Kangsar).

Peniaga Makanan Diminta Budayakan Keselamatan Makanan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Zainal Azman Bin Abu Seman ketika melakukan gimik perasmian Projek Transformasi Keselamatan Makanan Medan Selera PBT.
Peniaga Makanan Diminta Budayakan Keselamatan Makanan Medan Selera Dataran Dato' Sagor, Ipoh dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Medan Selera Wilayah BeSS.
Peniaga Makanan Diminta Budayakan Keselamatan Makanan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Zainal Azman Bin Abu Seman bersama para peserta yang terbabit dalam program yang berlangsung.
Peniaga Makanan Diminta Budayakan Keselamatan Makanan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Zainal Azman Bin Abu Seman beramah mesra dengan peserta yang hadir pada majlis tersebut.
Peniaga Makanan Diminta Budayakan Keselamatan Makanan Pengarah Kesihatan Perak, Dato' Dr Ding Lay Ming menyampaikan Anugerah Transformasi Medan Selera Terbaik kepada Medan Selera Laksa dan Cendol, Kuala Kangsar.
Peniaga Makanan Diminta Budayakan Keselamatan Makanan Pengarah Kesihatan Perak, Dato' Dr Ding Lay Ming menyampaikan Anugerah Transformasi Medan Selera PBT Terbaik kepada Majlis Daerah Batu Gajah.

Sumber : Korporat, SUK Perak.