Kerajaan Negeri Umum Belanjawan 2020 Berjumlah RM1.098 Bilion : 15 November 2019

Kerajaan Negeri Umum Belanjawan 2020 Berjumlah RM1.098 Bilion

YAB Menteri Besar Perak melihat buku Buku Belanjawan 2020 Negeri Perak.

IPOH, 15 NOVEMBER 2019 - Kerajaan negeri Perak mengumumkan peningkatan peruntukan bagi Belanjawan 2020 kepada RM1.098 bilion berbanding RM1.061 bilion pada tahun 2019.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu berkata, daripada jumlah itu, RM771 juta diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan mengurus manakala RM430 juta lagi disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Menurut beliau, Belanjawan Negeri 2020 itu memberi fokus kepada empat tumpuan iaitu Menjana Ekonomi Seimbang, Keadilan Sosial; Kesejahteraan Rakyat serta Kelestarian Sumber dan Alam Sekitar; Memperkasa Pendidikan dan Modal Insan; dan Memperkukuhkan Tadbir Urus dan Memupuk Tanggungjawab bersama.

"Bagi tahun 2020, ekonomi negeri diunjurkan terus berkembang pada kadar lima peratus setahun. Pertumbuhan ekonomi negeri ini dijangka kekal dipacu oleh sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

"Belanjawan Tahun 2020 Negeri Perak direncanakan bagi merangsang ekonomi dalam mendepani segala kebarangkalian dan mengekalkan momentum pertumbuhan.

"Pada masa yang sama, usaha melaksanakan keadilan sosial terus dipertingkatkan. Beberapa inisiatif ditambahbaik dan inisiatif baru turut diperkenalkan bagi memperbaiki jaringan keselamatan sosial," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2020 pada Sesi Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Beliau berkata, pendapatan bagi tahun 2020 diunjurkan sebanyak RM1.059 bilion diperoleh daripada hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil serta RM38.4 juta daripada terimaan pembangunan.

Tambah beliau, daripada unjuran hasil dan perbelanjaan itu, Belanjawan Negeri 2020 mengalami defisit sekitar RM103 juta berbanding unjuran Belanjawan Negeri 2019 iaitu RM109 juta.

Beliau berkata, bagaimanapun kerajaan negeri yakin Belanjawan Negeri pada tahun ini akan mencatatkan lebihan pada penutupan akaun 2019.

Selain itu, kata beliau, pihaknya akan memberi fokus kepada mempelbagaikan aktiviti ekonomi dengan memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan yang relevan dengan perubahan pesat ekonomi dunia bagi memastikan ekonomi negeri mampan.

Tegas beliau, dasar-dasar sedia ada akan sentiasa dinilai supaya dapat disesuaikan dengan perubahan semasa khususnya perkembangan teknologi akibat ledakan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital.

Kerajaan Negeri Umum Belanjawan 2020 Berjumlah RM1.098 Bilion YAB Menteri Besar Perak ketika mengumumkan peruntukan Belanjawan 2020 Negeri Perak.
Kerajaan Negeri Umum Belanjawan 2020 Berjumlah RM1.098 Bilion Adun-adun bergambar ketika Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua, Dewan Negeri Yang Ke-14, Perak Darul Ridzuan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.