DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2019 : 17 November 2019

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2019

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melambai tangan kepada peserta larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2019.

KUALA KANGSAR, 17 NOVEMBER 2019 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan berangkat menyertai acara Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2019 di Dataran Pavillion di sini, pagi tadi.

Turut menyertai larian, YTM Raja Kecil Besar, Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Puteri Sultan Perak, YTM Raja Nazira Safya.

Yang hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal Bin Dato' Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Binti Mohammed Radzi; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Zainal Azman Bin Abu Seman, serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Perak.

Acara larian yang dianjurkan bersempena Hari Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ke-63 yang disambut 1 November lalu itu, menyaksikan penyertaan lebih 8,000 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sekitar jam 6.56 pagi, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melakukan pelepasan peserta larian membabitkan kategori 15 kilometer (km) yang disertai 4,500 peserta, 2,500 peserta bagi 10km dan 350 peserta bagi kategori 6.5km.

Pada masa sama, YTM Raja Azlan Muzzaffar Shah turut berkenan menyertai acara larian bagi kategori 6.5km.

Sementara itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim kemudiannya berkenan menyertai acara larian bagi kategori tetamu kehormat (VVIP) yang membabitkan jarak 2km serta diiringi tetamu kehormat yang lain.

Acara pelepasan kategori yang disertai 300 orang itu disempurnakan adinda DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, YAM Raja Dato' Seri Yong Sofia.

Usai acara penyerahan hadiah, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kemudian berkenan meraikan pasukan Perak Bison yang berjaya menjuarai Saingan Liga Premier Sepak Takraw (STL) 2019 serta pasukan hoki wanita Malaysia yang muncul juara edisi pertama Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara, masing-masing pada awal bulan ini.

Piala bagi kedua-dua kejohanan tersebut turut dipersembahkan kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2019 Persembahan yang diadakan sepanjang laluan.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2019 Penyertaan lebih 8000 peserta mengambil bahagian dalam Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2019.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2019 DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melawat pameran yang diadakan semasa Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2019.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Berkenan Sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2019 Antara peserta yang mengambil bahagian Larian Hari Keputeraan Sultan perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.