RTEX 2019 Bantu Usahawan Promosi Produk Ke Luar Negara : 9 Disember 2019

YB Dato' Haji Asmuni Bin Awi melawat kaunter yang dibuka semasa majlis tersebut

YB Dato' Haji Asmuni Bin Awi melawat kaunter yang dibuka semasa majlis tersebut

IPOH, 9 DISEMBER 2019 - Penganjuran Program Road To Export (RTEX) 2019 merupakan usaha yang dirancang Sekretariat Pembangunan Usahawan Negeri Perak (SUPER) bagi memenuhi tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat khususnya usahawan di Perak.

YB Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Dato' Haji Asmuni Bin Awi berkata, tujuan program itu diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan perkongsian maklumat terkini kepada usahawan bagi menembusi pasaran luar negara.

"Saya juga dimaklumkan, sepanjang program ini terdapat perkongsian maklumat daripada pakar industri yang berpengalaman daripada Malaysia Export Academy, sesi perkongsian dengan usahawan dan juga Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

"Usahawan diberi pendedahan tentang penghantaran produk ke luar negara untuk jualan, syarikat yang berpotensi dan kesediaan untuk eksport serta aktiviti pengurusan penghantaran produk keluar negara untuk jualan," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Road To Export di Hotel Casuarina@Meru.

Beliau berkata, program yang berlangsung juga turut menjadi platform bagi proses persediaan lebih ramai usahawan negeri  untuk penyertaan ke 17th CAEXPO Nanning, China pada September 2020.

"Saya juga telah mencadangkan pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk memperuntukkan bajet khas bagi SME di negeri Perak untuk penyertaan dan pameran produk dan perkhidmatan dalam 17th CAEXPO.

"Pemilihan adalah dikalangan produk yang mempunyai permintaan tinggi serta kemampuan kuantiti yang banyak," ujar beliau.

Selain itu, beliau berharap program yang berlangsung dapat memberi manfaat kepada usahawan negeri seterusnya melonjakkan lagi semangat untuk lebih maju dan berdaya saing.

"Dalam masa yang sama, saya berasa sangat gembira kerana program ini telah melibatkan komitmen secara langsung daripada agensi-agensi, usahawan-usahawan, pakar-pakar industri, pegawai-pegawai dan juga Sekretariat SUPER.

"Ini telah meluaskan khidmat bakti mereka ke dalam program keusahawanan dengan ikhlas tanpa meminta balasan atau imbuhan bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan usahawan berjaya yang berdaya saing," kata beliau.

YB Dato' Haji Asmuni Bin Awi berucap semasa Majlis Penutup Program Road To Export di Hotel Casuarina@Meru YB Dato' Haji Asmuni Bin Awi berucap semasa Majlis Penutup Program Road To Export di Hotel Casuarina@Meru.
Antara tetamu yang hadir ke Majlis Penutup Program Road To Export di Hotel Casuarina@Meru Antara tetamu yang hadir ke Majlis Penutup Program Road To Export di Hotel Casuarina@Meru.

Sumber : Korporat, SUK Perak.