Sambutan Ambang Tahun Baru 2020 Meriah Di Lumut : 31 Disember 2019

Sambutan Ambang Tahun Baru 2020 Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Dataran Maritim, Lumut

Sambutan Ambang Tahun Baru 2020 Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Dataran Maritim, Lumut.

LUMUT, 31 Disember 2019 – Sambutan Ambang Tahun Baru 2020 Peringkat Negeri Perak disambut meriah dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung di Dataran Maritim, Lumut, hari ini.

Sambutan yang bermula jam 11.00 malam ini telah diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan Orang Asal. Majlis turut diteruskan dengan persembahan daripada artis tempatan seperti Sham Visa dan Wani Syaz.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak, Tuan Tan Kar Hing telah mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu bagi menyempurnakan perasmian tersebut.

Turut hadir bersama adalah YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato’ Zulazlan bin Abu Hasan serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Perak.

Melalui teks ucapan yang dibacakan YB Tuan Tan Kar Hing, YAB Menteri Besar Perak berkata Kerajaan Negeri Perak sentiasa komited untuk terus memacu sektor pelancongan negeri yang dikenal pasti sebagai salah satu jentera utama pertumbuhan sektor perkhidmatan negeri.

Beliau juga menyatakan dengan pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) akan terus melonjakkan lagi sektor aktiviti pelancongan negeri ini.

“Sebagai langkah persediaan, peruntukan RM9.1 juta telah dibelanjakan untuk menaik taraf jeti penumpang, jeti kargo dan kemudahan-kemudahan infrastruktur yang lain di Pulau Pangkor.

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM4.5 juta dalam Belanjawan 2020 untuk memacu inisiatif PBC Pangkor termasuk pembangunan modal insan bagi memastikan penduduk Pangkor mendapat manfaat sebenar daripada status PBC ini.”

Status Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai akan bermula 1 Januari 2020 dan pengisytiharan secara rasmi akan disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Di samping itu, beliau turut menyatakan sejajar dengan PBC Pangkor dan Tahun Melawat Malaysia 2020, usaha-usaha pembangunan produk pelancongan negeri ini akan terus dipergiatkan.

“Antara pembangunan yang dilaksanakan adalah Digital Library dan Padang Ipoh Light and Sound Show yang akan dikelola oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara di Ipoh, menaik taraf TIC Ipoh, Pulau Pangkor dan Selama oleh Tourism Perak serta memperluaskan perkhidmatan HOHO Bus ke kawasan Pelancongan ‘Outcircuit’ di Tambun, Gopeng dan Batu Gajah”, kata beliau.

Tambah YAB Menteri Besar Perak, bagi mempergiatkan usaha mempromosikan sektor pelancongan negeri Perak, tumpuan akan diberikan kepada pemasaran digital dengan pengenalan QR code dan e-brochures serta video penjenamaan Pride of Perak (POP).

Selain itu, familiarisation trip untuk media dan vlogger antarabangsa, meningkatkan penggunaan pelbagai platform media sosial serta mewujudkan rakan strategik akan terus dipergiatkan.

“Saya yakin dan percaya semua usaha ini akan menghasilkan limpahan ekonomi kepada rakyat, seterusnya merakyatkan sektor pelancongan”, katanya.

Beliau turut mengharapkan kerjasama erat semua pihak dalam merealisasikan potensi besar negeri Perak sebagai hab sektor pelancongan utama.

Tetamu VIP yang hadir di majlis tersebut Tetamu VIP yang hadir di majlis tersebut.
Persembahan yang diadakan semasa Sambutan Ambang Tahun Baru 2020 Persembahan yang diadakan semasa Sambutan Ambang Tahun Baru 2020.
Antara tetamu yang hadir ke majlis Sambutan Ambang Tahun Baru Antara tetamu yang hadir ke majlis Sambutan Ambang Tahun Baru.

Sumber : Korporat, SUK Perak.