YAB Menteri Besar Rakam Penghargaan Kepada Barisan Mantan Ex Officio : 8 Januari 2020

YAB Menteri Besar Rakam Penghargaan Kepada Barisan Mantan Ex Officio

Ucapan penghargaan oleh YAB Menteri Besar Perak kepada mantan Ex-Officio Kerajaan negeri Perak.

IPOH, 8 Januari 2020 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu merakamkan penghargaan kepada ketiga-tiga mantan Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak atas jasa dan khidmat bakti sepanjang menerajui pentadbiran Negeri Perak.

Beliau berkata kesemua mantan Ex-Officio sentiasa memberi tunjuk ajar dan membantu beliau setelah diberi kepercayaan sebagai Menteri Besar Perak oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Sesungguhnya Dato-Dato’ adalah tulang belakang kepada kekuatan saya dalam menjalankan amanah sebagai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu,” katanya ketika berucap semasa Majlis Penghargaan Mantan Ex-Officio Kerajaan Negeri Perak di Hotel Kinta Riverfront, semalam.

Majlis ini meraikan mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Zainal Azman bin Abu Seman; mantan Pegawai Kewangan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Abu Bakar bin Hj Said dan mantan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Yang Arif Dato’ Rohana binti Abdul Malek.

Dalam ucapan YAB Menteri Besar Perak, beliau turut menzahirkan rasa bangga kepada semua mantan Ex-Officio kerana berjaya melatih dan mendidik barisan pelapis yang kompeten dalam meneruskan tugasan masing-masing.

Beliau turut mengharapkan kejayaan ini dapat diteladani oleh semua penjawat awam dan yakin ianya dapat diteruskan oleh barisan kempimpinan terkini.

“Ini adalah satu legasi yang wajar diteladani oleh penjawat awam.

“Kita yakin barisan Ex-Officio yang ada sekarang, akan meneruskan legasi ini bagi melahirkan barisan pewaris yang kompeten dan komited dalam menjalankan amanah kepada rakyat dan negeri tercinta ini,” tambah beliau.

YBhg. Dato’ Zainal Azman bin Abu Seman, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak kini telah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Industri Asas Tani dan Pertanian. Manakala, YBhg. Dato’ Bakar, mantan Pegawai Kewangan Negeri telah bersara pada November 2019 yang lalu.

Di samping itu, Yang Arif Dato’ Rohana bin Abdul Malek, mantan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak telah bersara pada Disember 2019 dan kini telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam bermula 3 Januari lalu.

YAB Menteri Besar Rakam Penghargaan Kepada Barisan Mantan Ex Officio Yang Arif Dato’ Rohana binti Abdul Malek berucap di majlis tersebut.
YAB Menteri Besar Rakam Penghargaan Kepada Barisan Mantan Ex Officio YBhg Dato' Abu Bakar bersalaman dengan EXCO Kerajaan Negeri Perak yang hadir.
YAB Menteri Besar Rakam Penghargaan Kepada Barisan Mantan Ex Officio YB Pegawai Kewangan Negeri bergambar bersama YBhg Dato' Abu Bakar bin Hj Said dan staf Pejabat Kewangan Negeri Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.