Sistem E-Penghulu Dilancarkan Untuk Pejabat Penghulu Mukim Negeri Perak : 22 Januari 2020

Sistem E-Penghulu Dilancarkan Untuk Pejabat Penghulu Mukim Negeri Perak

YB Setiausaha Kerajaan bersama barisan tetamu kehormat menyaksikan montaj gimik perasmian.

IPOH, 22 JANUARI 2020 – Majlis Pelancaran Sistem e-Penghulu Pejabat Penghulu Mukim Negeri Perak telah disempurnakan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Suaidi bin Abdul Rahim di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, sebentar tadi.

Sistem e-Penghulu ini telah siap dibangunkan sepenuhnya pada bulan Disember 2019 dan mula digunapakai di 78 Pejabat Penghulu Mukim seluruh negeri Perak pada 20 Januari 2020.

Antara objektif sistem ini dibangunkan adalah bertujuan untuk memperkukuh dan memperkasa penyampaian perkhidmatan awam; memudahkan warga kerja pentadbiran mukim berurusan dengan pelanggan; mempercepatkan proses penyimpanan rekod; menjana laporan bagi tujuan analisis maklumat; memaparkan laporan yang terkini bagi tujuan pemantauan dan menjadi bahan rujukan yang berautoriti dan berintregiti secara digital.

Turut hadir adalah YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Tuan Azmir Shah bin Zainal Abidin ; YB Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato’ Zulazlan bin Abu Hassan; YBrs Timbalan Setiausaha Kerajaaan Negeri Perak (Pengurusan), Puan Norsham binti Rahman; YBrs Timbalan Setiausaha Kerajaaan Negeri Perak (Pembangunan), Tuan Haji Mu’az bin Haji Zawawi dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Maklumat, Puan Fatimah binti Ghazali.

Semasa majlis pelancaran tersebut, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim turut menyerahkan Dokumen Manual Pengguna kepada Encik Ekmal Hidir bin Mohamed Mokhtar, Setiausaha Persatuan Penghulu Negeri Perak sebagai simbolik pelancaran.

Sistem ini telah dibangunkan menggunakan Peruntukan Pembangunan Projek ICT P05 tahun 2019 dengan kerjasama di antara Bahagian Pengurusan Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan penghulu-penghulu di Negeri Perak.

Diharapkan dengan adanya sistem ini akan dapat meningkatkan lagi tahap penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada orang ramai terutamanya yang datang berurusan di Pejabat Penghulu Mukim di Negeri Perak.

Sistem E-Penghulu Dilancarkan Untuk Pejabat Penghulu Mukim Negeri Perak YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menyempurnakan pelancaran Sistem e-Penghulu.
Sistem E-Penghulu Dilancarkan Untuk Pejabat Penghulu Mukim Negeri Perak Encik Ekmal Hidir, Setiausaha Persatuan Penghulu Negeri Perak menerima manual pengguna daripada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Sistem E-Penghulu Dilancarkan Untuk Pejabat Penghulu Mukim Negeri Perak YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak turut beramah mesra bersama wakil Persatuan Penghulu Negeri Perak.
Sistem E-Penghulu Dilancarkan Untuk Pejabat Penghulu Mukim Negeri Perak Manual Pengguna Sistem e-Penguhulu untuk rujukan Pejabat Penghulu Mukim Negeri Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.