DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berangkat Ke Majlis Makan Malam Penaja WCIT 2020 : 4 Februari 2020

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berangkat Ke Majlis Makan Malam Penaja WCIT 2020

YB Dato' Ahmad Suaidi, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menyampaikan moc cheque tajaan dari Kerajaan Negeri Perak

IPOH, 4 FEBRUARI 2020 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Penaja Dan Pelancaran The 6TH World Conference on Islamic Thought and Civilization (WCIT 2020) di Casuarina@Meru, di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda turut diiringi oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; Pro Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), YBhg. Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Naib Canselor USAS, YBhg. Tan Sri Nordin Kardi.

Terdahulu, melalui sembah ucapan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu berkata, WCIT 2020 merupakan peluang kepada para ilmuan merungkai salah dan silap umat islam pada masa kini.

“Persidangan WCIT2020 ini wajar dijadikan medan kepada para ilmuan untuk merungkai di manakah salah dan silapnya umat Islam masa kini sehinggakan imej Islam sebagai agama sejahtera dan relevan sepanjang zaman, semakin terhakis”, katanya.

Beliau juga berharap agar WCIT2020 ini akan membuahkan hasil dalam mengembalikan Islam sebagai agama Rahmatan lil ‘Alamin di dunia dalam mengharungi perubahan drastik geopolitik dunia, penyebaran wabak penyakit serta ancaman perubahan iklim yang jelas lagi nyata.

“Slogan-slogan retorik dan penampilan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya, ia menuntut kepada kita untuk kembali kepada asas-asas Islam yang sebenar dalam merangka penyelesaian”, ujar YAB Menteri Besar Perak.

Bertemakan “Sharing Our Humanity (Perkongsian Tentang Kemanusiaan”, penganjuran WCIT kali ini melibatkan 23 penaja antaranya Kerajaan Negeri Perak, Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPnP), Menteri Besar Incorporated (MB Inc), Perak State Secretary Incorporated (SSI), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Darul Ridzuan (MAIPk), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk) serta Perak Investment Management Centre (Investperak).

Selain itu, turut menaja adalah Lumut Maritime Temrinal Sdn Bhd, Kumpulan MajuPerak Holdings Berhad, Lembaga Air Perak (LAP), TNB Perak, Bank Islam Malaysia Berhad, PROTON Edar Sdn Bhd, Bank Rakyat, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), EFS Worldwide, Perak Tourism Management Berhad, Mariwasa Kraftangan Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad Perak, Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar.

WCIT2020 yang juga merupakan penganjuran kali ke-6 oleh USAS dilaksanakan bagi mencari penyelesaian yang pragmatic dan praktikal terhadap masalah sosio ekonomi, sosiopolitik, sosio-agama dan sosio budaya yang sedia ada.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berangkat Ke Majlis Makan Malam Penaja WCIT 2020 DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan bergambar bersama tetamu kehormat dan para penaja.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berangkat Ke Majlis Makan Malam Penaja WCIT 2020 DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan melancarkan WCIT 2020.

Sumber : Korporat, SUK Perak.