Ipoh Destinasi Pertama Hari Komuniti Negara KPKT : 29 Februari 2020

Ipoh Destinasi Pertama Hari Komuniti Negara KPKT

Pemenang Pertandingan Keceriaan Bangunan bergambar semasa Sambutan Hari Komuniti Negara.

IPOH, 29 Februari 2020 -  Ipoh menjadi lokasi pertama penganjuran Hari Komuniti Negara sejak Dasar Komuniti Negara dilancarkan pada tahun lepas.

Lebih 5,000 pengunjung telah memeriahkan Sambutan Hari Komuniti Negara yang dianjurkan di Stadium Indera Mulia, Ipoh selama dua hari sejak 28 Feb.

Mengenai sambutan ini, YBhg. Ketua Setiausaha KPKT, Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek berkata program ini diadakan bertujuan menghargai sumbangan serta kerjasama rakan-rakan strategik daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi yang telah berusaha membantu memperkasa serta mendaya upaya komuniti.

"Sambutan ini secara tidak langsung akan dapat memberi pendedahan dan hebahan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa meneruskan usaha untuk menjadikan komuniti sebagai golongan sasar yang utama dalam agenda pembangunan negara. 

"Kami juga menyeru rakan strategik yang berpotensi untuk sama-sama menjayakan pelaksanaan Dasar Komuniti Negara dan dengan langkah ini, kesejahteraan komuniti perumahan di bandar terutamanya dalam kalangan golongan B40 akan lebih berdaya maju dan sejahtera secara holistik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Hari Komuniti Negara yang turut dihadiri  YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim di sini, hari ini.

Sempena sambutan ini, sebanyak 70 pempamer melibatkan 32 agensi kerajaan swasta telah turut serta dalam usaha menyebar luas informasi kepada masyarakat.

Antara lainnya, turut diberi penekanan adalah pameran pencapaian dan kejayaan aktiviti atau program yang telah dianjurkan oleh persatuan penduduk Projek Perumahan Rakyat bersama rakan strategik.

Usaha ini adalah salah satu langkah mendorong persatuan penduduk PPR lain untuk turut serta dalam menggiatkan aktiviti serta program komuniti dengan lebih rancak lagi dan secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan Dasar Komuniti Negara.

Selain itu, dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek turut mengulas tentang perancangan KPKT untuk mengembangkan Pusat Inisiatif Komuniti Sifar Sisa (ZeComm) di semua 19 buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang telah mempunyai Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti.

Ia antara usaha bagi memupuk amalan kitar semula dalam kalangan anggota komuniti di samping memberi pulangan kepada individu yang aktif melaksanakan inisiatif berkenaan.

“Sebelum ini sebanyak lima Pusat ZeComm sudah ditubuhkan di PPR Kota Bharu, Kelantan; PPR Lembah Subang 2, Selangor; PPR Tehel, Melaka; PPR Senawang, Negeri Sembilan; dan Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh Perak.

“Jadi, bagi menyebar luas program ini, kita merancang untuk mengembangkan Pusat Komuniti Sifar Sisa (ZeComm) di semua 19 Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sudah mempunyai Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti,” katanya.

Ipoh Destinasi Pertama Hari Komuniti Negara KPKT

Antara orang ramai yang hadir memeriahkan majlis tersebut.

Ipoh Destinasi Pertama Hari Komuniti Negara KPKT

Persembahan semasa Sambutan Hari Komuniti Negara yang dianjurkan di Stadium Indera Mulia.

Ipoh Destinasi Pertama Hari Komuniti Negara KPKT YBhg. Ketua Setiausaha KPKT menyempurnakan gimik perasmian Hari Komuniti Negara.
Ipoh Destinasi Pertama Hari Komuniti Negara KPKT

Antara ketua jabatan dan pengunjung yang hadir ke Hari Komuniti Negara yang diadakan pada hari Sabtu yang lepas.

 

Sumber : Korporat, SUK Perak.