“Casuarina Sini Drive” Panggung Pandu Masuk Pertama Di Malaysia.: 17 Julai 2020

“Casuarina Sini Drive” Panggung Pandu Masuk Pertama Di Malaysia

YAB Menteri Besar Perak merasmikan Casuarina Sini Drive

IPOH, 17 Julai 2020 – Perak merupakan negeri pertama melancarkan panggung pandu masuk di Malaysia, dikenali sebagai Casuarina Sini Drive di Meru, Ipoh.

Menurut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu, Casuarina Sini Drive yang terletak di Meru Raya, Ipoh ini merupakan inisiatif Perak Corp Berhad dan ianya dapat memuatkan kapasiti 70 kenderaan dalam satu-satu masa.

"Pengenalan pawagam ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan di Perak yang terkesan teruk ekoran pandemik COVID-19 dan diharapkan dapat menghidupkan lagi aktiviti pelancong yang datang ke Ipoh," katanya pada sidang media sempena majlis pelancaran Casuarina Sini-Drive, malam ini.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif PCB Encik Zainal Iskandar Ismail.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan tiket tayangan filem dengan set makanan serta minuman dengan bayaran antara RM36 hingga RM42 bagi satu kenderaan melalui laman web www.sini-drive.com.my.

Panggung Casuarina Sini Drive ini menayangkan filem pelbagai genre mulai jam 8 malam hingga 11 malam setiap hari kecuali hari Isnin yang ditayangkan di skrin berukuran 6X18 meter.

Selain itu, penonton akan diberi satu frekuensi radio untuk menikmati audio tayangan filem berkenaan secara terus melalui radio kenderaan masing-masing. Penonton juga boleh menempah makanan dengan hanya menyalakan lampu kecemasan kenderaan untuk memanggil petugas panggung.

“Casuarina Sini Drive” Panggung Pandu Masuk Pertama Di Malaysia

YAB Menteri Besar Perak bersama isteri ketika Pelancaran Casuarina Sini-Drive.

“Casuarina Sini Drive” Panggung Pandu Masuk Pertama Di Malaysia

Antara pengunjung yang hadir di majlis tersebut.

“Casuarina Sini Drive” Panggung Pandu Masuk Pertama Di Malaysia

Pelancaran Casuarina Sini-Drive oleh YAB Menteri Besar Perak.

Sumber : Korporat, SUK Perak.