Perak Terima Pelaburan Lebih RM1 Bilion, Wujud 700 Peluang Pekerjaan.: 24 Julai 2020

Perak Terima Pelaburan Lebih RM1 Bilion, Wujud 700 Peluang Pekerjaan

Gambar pertukaran dokumen perjanjian Komitmen Pelaburan Negeri Perak.

IPOH, 24 Julai 2020 – Negeri Perak menerima suntikan pelaburan berjumlah lebih RM1 bilion dengan usaha sama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor (NCIA) bersama tujuh syarikat swasta yang beroperasi di negeri ini.

Menurut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal  bin Dato’ Azumu berkata kerjasama itu bakal mewujudkan lebih 700 peluang pekerjaan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif ini bagi merancakkan ekonomi negeri melalui pembangunan strategik, rangsangan pelaburan dan program memperkasakan rakyat bagi menangani impak pandemik COVID-19.

"Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama erat dengan kerajaan persekutuan khususnya melalui NCIA  dalam menggerakkan pelbagai inisiatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

Selaku pihak pembangunan wilayah yang menangani impak pandemik COVID-19 terhadap ekonomi, NCIA telah membentangkan pendekatan strategi serampang tiga mata yang menyarankan tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur strategik dan mempercepatkan pertumbuhan pelaburan swasta  serta memperkasakan rakyat," katanya.

YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas  menyaksikan pertukaran dokumen  perjanjian Komitmen Pelaburan Negeri Perak yang diadakan sejurus selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri NCIA-Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata tujuh syarikat yang melabur di Perak mempunyai perancangan masa panjang dan melihat potensi di negeri ini bagi membantu mereka meluaskan perniagaan.

"Semua syarikat di seluruh negara terkesan dari segi pendapatan akibat pandemik COVID-19 tetapi setiap syarikat yang melabur hari ini tentunya mengambil kira semua ini sebelum membuat keputusan untuk menandatangani dokumen komitmen untuk membuat pelaburan di Perak," katanya.

Tujuh syarikat yang terlibat adalah Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd; PHN Industry Sdn Bhd; Manjung Naluri Sdn Bhd; Mata Aerotech Sdn Bhd; Unisem Advanced Technologies Sdn Bhd; ExcelVite Sdn Bhd dan Gading Kencana Sdn Bhd.

Perak Terima Pelaburan Lebih RM1 Bilion, Wujud 700 Peluang Pekerjaan

Gambar pertukaran dokumen perjanjian Komitmen Pelaburan Negeri Perak.

Perak Terima Pelaburan Lebih RM1 Bilion, Wujud 700 Peluang Pekerjaan

Gambar pertukaran dokumen perjanjian Komitmen Pelaburan Negeri Perak.

Perak Terima Pelaburan Lebih RM1 Bilion, Wujud 700 Peluang Pekerjaan

YAB Menteri Besar bersama YB SUK dan YB EXCO semasa sidang media selepas majlis.

Sumber : Korporat, SUK Perak.