Jemputan Rasmi Ke Sukma XVII, Perlis 2014 - 14 April 2014

Ipoh, 14 April 2014 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd. Kadir menerima kunjung hormat rakan sejawatnya iaitu YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Azlan bin Man. Pertemuan berlangsung di Pejabat YAB Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Kunjungan hormat YAB Menteri Besar Perlis ini bertujuan menjemput YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir serta skuad sukan negeri dan pegawai-pegawai pengiring untuk menyertai temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-17, Perlis yang bermula 24 Mei hingga 4 Jun 2014 ini.

Hadir sama pada pertemuan itu, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Abd Puhat bin Mat Nayan dan YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Sharul Zaman bin Yahya.

YAB Menteri Besar Perak berkata, bagi edisi SUKMA kali ini, kontinjen negeri Perak akan menyertai ke semua 24 acara sukan yang dipertandingkan dengan penyertaan seramai 388 atlet bersama 84 orang pegawai serta 70 orang urus setia, petugas dan pembantu.

YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Azlan bin Man semasa sidang media berkata, ini merupakan kali pertama negeri Perlis menjadi tuan rumah SUKMA Ke-17 dan segala persiapan rapi telah dijalankan bagi menerima kunjungan kontinjen dari seluruh negeri termasuk Perak.

YAB Menteri Besar Perak beramah mesra bersama kunjungan dari Kerajaan Negeri Perlis yang diketuai YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Azlan bin Man.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir bersalam dengan YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Azlan bin Man tanda penerimaan jemputan rasmi ke SUKMA XVII.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir menerima anak patung singa iaitu maskot SUKMA XVII daripada YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Azlan bin Man.
YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Azlan bin Man menandatangani buku kehadiran tetamu sambil diperhatikan YAB Menteri Besar Perak.

Sumber: Korporat, SUK Perak.