Mendaulatkan Institusi Raja : DYMM Pemangku Raja Perak - 19 April 2014

Kuala Kangsar, 19 April 2014 - DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam titah ucapan baginda bertekad dan berazam untuk memastikan institusi Raja kekal didaulatkan melalui watak dan keperibadian mulia, adab dan sopan yang luhur,yang diperlihatkan oleh Raja Pemerintah.

“Istiadat pagi ini melambangkan citra untuk terus mendaulatkan institusi Raja, satu pelanjutan adat, satu kesinambungan budaya, berlangsung dalam era modenisasi. Betapa keindahan alat - betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi negara bangsa; menyegarkan keaslian adat-menyuburkan keindahan budaya, sekali gus mengekalkan identiti satu tamadun pemerintahan, negeri beraja-rakyat bersultan, yang telah sekian lama berakar dalam sistem berkerajaan dan bernegara di rantau ini ” titah baginda.

Titah baginda “Raja Pemerintah adalah payung kedaulatan sesebuah negara dan wajib memberi naungan saksama kepada setiap warga, tanpa mengira kaum dan agama. Takhta pemerintahan berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan, instrumen kesatuan dalam kepelbagaian”.

DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah demikian ketika Istiadat Menghadap Sembah Titah Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-86 Sultan Perak, DYMM Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah.

Turut berangkat, DYTM Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim, DYAM Raja Di Hilir, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYAM Raja Puan Muda, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir dan isteri YABhg. Datin Seri Saripah Zulkifli. Pada istiadat berkenaan, baginda berkenan menyampaikan anugerah darjah kebesaran kepada 38 penerima yang didahului oleh Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zahidi Bin Hj. Zainuddin yang menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Amat Dimulia (SPSA) yang membawa gelaran Dato’ Seri DiRaja.

Turut menerima anugerah, YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa yang menerima Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) membawa gelaran Datuk Seri. YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Abdul Puhat bin Mat Nayan pula dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato’ Seri bersama 3 penerima lain iaitu Yang Amat Arif Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Dato’ Abdull Hamid bin Embong; YABhg. Orang Kaya Besar Maharaja DiRaja, Dato’ Haji Abd. Rahman bin Haji Zainuddin dan YABhg. Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Dato’ Ir. Mohamad Othman bin Zainal Azim.

Penerima darjah dan pingat kebesaran Negeri Perak. (Dari kanan) YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Mat Nayan; YBHg. Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Dato Seri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar.
DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menganugerahkan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) kepada YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa.
Yang Dihormati Ketua Polis Negara,Tan Sri Dato' Sri Khalid bin Abu Bakar dikurniakan Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) dari DYMM Pemangku Raja Perak.
DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menganugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Abdul Puhat bin Mat Nayan.
DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menganugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Amat Dimulia (SPSA) kepada Tan Sri Dato' Seri Mohd Zahidi Bin Hj. Zainuddin.

Sumber: Korporat, SUK Perak.