Transformasi Ke Arah Menjadikan Malaysia Negara Maju Dan Berpendapatan Tinggi Menjelang 2020 - 25 April 2014

Taiping, 25 April 2014 - YBhg Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berharap penjawat awam dapat merealisasikan harapan YAB Perdana Menteri Malaysia menjadikan Malaysia ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata penjawat awam adalah agen transformasi dan perlu meneruskan usaha tanpa henti bagi memastikan proses transformasi ini berjalan lancar.

“Jika kita lihat dari segi transformasi, ia bukan sahaja berlaku di negeri Malaysia tetapi berlaku seluruh dunia dan di mana-mana jua, kerana proses transformasi ini akan menyediakan diri kita untuk menjadi lebih efisien, lebih mantap,dan sebuah perkhidmatan yang sentiasa dikehendaki oleh rakyat.” Kata YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal sempena Program Semarakkan Transformasi Perkhidmatan Awam di Negeri Perak di Dewan Majlis Perbandaran Taiping.

YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dalam ucapannya berkata “ kita satu-satunya perkhidmatan kerajaan yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat bukan lagi rakyat datang untuk berjumpa dengan kita begitu susah sekali untuk kita melayani mereka. Seolah-olah macam mereka meminta sedekah kepada kita untuk berjumpa dengan kita.”

YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal menegaskan penjawat awam merupakan tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan, oleh itu penjawat awam perlulah membuat perubahan secara bersama, seiring sejalan bersama dengan transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kalau kita sediakan perkhidmatan yang cemerlang,orang suka kepada kita,senang untuk didekati, mudah untuk menyelesaikan masalah, kita jadi fasilitator ,pasti orang akan datang berjumpa kita.” kata beliau lagi.

Turut hadir ke majlis, YBhg. Timbalan Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Dato’ Dr. Sharifah Zarah Syed Ahamad dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri DiRaja Abd Puhat bin Mat Nayan.

YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal ketika membuat lawatan ke Klinik Kesihatan Tupai Taiping.
YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal menghadiri Majlis Kesyukuran anjuran Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia di Kem Tentera Taiping.
YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal menyampaikan amanat ketika Program Semarakan Transformasi Perkhidmatan Awam di Negeri Perak
YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, bersalaman dan beramah mesra bersama tetamu yang hadir di Dewan Perbandaran Taiping.

Sumber: Korporat, SUK Perak.