102 Penjawat Awam Negeri Perak Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang - 5 Mei 2014

IPOH, 5 MEI 2014 - Seramai 102 anggota perkhidmatan awam Negeri Perak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2013 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Setiap penerima APC membawa pulang sijil simpanan premium bernilai RM 1,000, sijil serta berpeluang dalam pencalonan menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat dari persekutuan atau negeri.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada penerima dan beliau turut memberi nasihat dan semangat kepada penjawat awam yang tidak menerima APC.

“Kepada mereka yang tidak terpilih bukanlah bermakna anda tidak cemerlang, teruskanlah usaha-usaha murni anda untuk memberi sumbangan kepada kerajaan dan pelanggan dengan semangat tinggi, tingkatkan lagi produktiviti, kreativiti dan inovasi serta sentiasa muhasabah diri untuk memperbaiki kelemahan diri.” kata YB Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan.

YB Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan turut mengucapkan tahniah kepada empat pihak berkuasa tempatan di negeri ini yang berjaya memperoleh pencapaian tertinggi empat bintang melalui Penilaian Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SSR-PBT) yang dilakukan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan tahun lepas. Pihak berkuasa tempatan tersebut ialah Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Manjung, Majlis Perbandaran Taiping dan Majlis Daerah Kerian.

Beliau berkata penarafan ini diperoleh apabila keempat-empat PBT berkenaan mempamerkan prestasi cemerlang terhadap kriteria ditetapkan meliputi pengurusan, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti serta pandangan penduduk setempat.

Turut hadir ke Majlis Penyampaian APC Tahun 2013, YAB Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd. Kadir; YBhg. Mufti Perak, Tan Sri Dato' Seri (DR) Hj. Harussani bin Hj Zakaria dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2013 bergambar bersama YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir.
YAB Menteri Besar Perak menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada KPSU Bahagian Korporat.
YB Menteri Besar Perak dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri bergambar bersama Pihak Berkuasa Tempatan yang berjaya memperoleh pencapaian tertinggi empat bintang melalui Penilaian Sistem Penarafan Bintang.

Sumber: Korporat, SUK Perak.