Kontinjen Sukma Perak Tunjukkan Peningkatan - 4 Jun 2014

Perlis, 4 Jun 2014 - Kontinjen Perak menunjukkan peningkatan pada Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XVII 2014 di Perlis apabila berjaya menduduki tempat ke-6 berbanding di tempat ke-11 keseluruhan pada kejohanan SUKMA 2012.

Kontinjen Perak menduduki tempat ke-6 daripada keseluruhan 15 pasukan yang mengambil bahagian setelah mengumpul jumlah keseluruhan 84 pingat dengan 24 pingat emas, 24 pingat perak dan 36 pingat gangsa.

Olahraga menyumbangkan pungutan pingat terbanyak bagi kontinjen Perak dengan jumlah keseluruhan 19 pingat, iaitu 6 pingat emas, 7 pingat perak dan 6 pingat gangsa. Sukan akuatik yang menyumbangkan keseluruhan 9 pingat iaitu 4 pingat emas, 3 pingat perak dan 2 pingat gangsa.

Kejohanan SUKMA XVII kali ini lebih bermakna buat kontinjen Perak, apabila berjaya meraih ‘ibu segala pingat’ selepas muncul johan mengalahkan Johor 3-1 dalam perlawanan akhir bola sepak.

Kejohanan SUKMA XVII yang bermula 29 Mei hingga 4 Jun 2014 melabuhkan tirai dengan rasminya dengan upacara penutup disempurnakan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP), Perlis.

Upacara berlangsung penuh warna warni dengan percikan bunga api di setiap sudut stadium dan berjaya menghimpunkan lebih 5,000 pegawai dan atlet dari seluruh negeri termasuk negara Brunei selaku kontinjen jemputan.

Sumber: Korporat, SUK Perak.