5,000 Unit Rumah PR1MA Dan Cawangan UPSI Bakal Dibina Di Teluk Intan – YAB Perdana Menteri - 14 Jun 2014

TELUK INTAN, 14 JUN 2014 - YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak mengumumkan kerajaan akan membina 5,000 unit rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Teluk Intan.

YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak berkata, sebagai permulaan, sebanyak 1,000 unit rumah akan dibina di kawasan Teluk Intan bagi projek PR1MA, melibatkan kerjasama antara Perbadanan PR1MA Malaysia, Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Malaysia Bhd (MOCCIS).

Bagi penubuhan cawangan UPSI, YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak berkata, keputusan untuk mewujudkan sebuah universiti di kawasan Teluk Intan dibuat hasil daripada perbincangan dengan beberapa pihak termasuklah perbincangan bersama YB Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurut YAB Perdana Menteri, kampus berkenaan akan menempatkan 1,000 guru yang akan dilatih dalam bidang vokasional dan teknikal.

YAB Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran PR1MA di Teluk Intan bertempat di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang turut dihadiri YAB Menteri Besar Perak, Dato Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.

YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak bersama YAB Menteri Besar Perak dan dif-dif kehormat membaca doa sebelum Majlis Pelancaran PR1MA bermula.
Barisan EXCO dan Ketua-Ketua Jabatan Negeri yang turut terlibat dalam Majlis Pelancaran PR1MA di Teluk Intan.
YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak menerima cenderahati berupa gambar Menara Condong Teluk Intan.
Orang ramai yang hadir ke Dataran Menara Condong Teluk Intan bagi melihat dengan lebih dekat YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak di Majlis Pelancaran PR1MA.
Kunjungan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak menarik minat orang ramai ke Dataran Menara Condong Teluk Intan yang mahu melihat YAB Perdana Menteri dengan lebih dekat.

Sumber: Korporat, SUK Perak.