Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Perak Darul Ridzuan 2014 - 26 Jun 2014

YB Dato' Saarani bin Mohamad memberi ucapan di Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Perak Darul Ridzuan 2014.

26 Jun 2014 - YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Saarani bin Mohamad mengingatkan kesemua 305 Ahli Majlis yang telah dilantik bagi tahun 2014 di setiap Majlis Perbandaran di seluruh negeri Perak supaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing kerana jawatan Ahli Majlis bukanlah sesuatu yang diwujudkan untuk keseronokan sebaliknya sebagai wakil rakyat kepada pihak berkuasa tempatan.

“Setiap Ahli Majlis perlu menerapkan kaedah turun padang untuk mengetahui dan melihat sendiri masalah yang dihadapi rakyat bagi mendengar denyut nadi rakyat. ” kata YB Dato’ Saarani bin Mohamad selaku wakil YAB Menteri Besar Perak sempena Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Perak Darul Ridzuan Tahun 2014 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Terdahulu sebelum ucapan beliau, YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Abu Bakar bin Haji Said selaku wakil kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri berpesan kepada setiap Ahli Majlis supaya faham akan tugas dan peranan sebenar mereka.

“Seminar ini juga sebagai platform dalam memberi pendedahan kepada ahli-ahli majlis terutamanya yang baru dilantik, mengenai dasar-dasar kerajaan dan usaha-usaha menangani isu semasa di negeri ini. Setiap ahli majlis perlu menyedari bahawa PBT adalah agensi, di mana setiap tindakan dalam kawasan operasi masing-masing perlu dilakukan secara berkumpulan dengan agensi lain di kawasan masing-masing supaya setiap tindakan memberi kesan yang terbaik lagi menyeluruh.” kata YBhg. Dato’ Abu Bakar bin Haji Said.

Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Perak Darul Ridzuan 2014 kali ini melibatkan pembentangan 4 kertas kerja oleh panel-panel jemputan yang akan menyentuh mengenai Fungsi Peranan Am, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP), Ekonomi, Sosial, Kualiti Hidup dan Perak Amanjaya.

Antara objektif utama penganjuran seminar ini adalah bertujuan memberi ruang kepada ahli-ahli majlis untuk bertukar-tukar pandangan dan cadangan dalam memantapkan lagi struktur pentadbiran kerajaan tempatan.

Antara ketua-ketua jabatan yg hadir ke seminar.
Peserta yang hadir sedang mendengar taklimat yang disampaikan oleh panel jemputan.
YB Dato' Saarani bin Mohamad bersalaman bersama Ahli-Ahli Majlis yang hadir.
YBhg. Dato' Abu Bakar bin Haji Said selaku wakil kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri berpesan kepada setiap Ahli Majlis supaya faham akan tugas dan peranan mereka.
YB Dato' Saarani Mohamad mengadakan  sidang media selepas selesai memberi ucapan perasmian sempena Seminar Ahli Majlis Pihak Bekuasa Tempatan Negeri Perak 2014.

Sumber: Korporat, SUK Perak.