DYMM Sultan Perak Rasmi Masjid Toh Puan Besar Hatijah - 30 Jun 2014

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhibbuddin Shah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Majlis Toh Puan Besar Hatijah.

Batu Gajah, 30 Jun 2014 - DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyempurnakan wasiat Almarhum ayahanda baginda, DYMM Paduka Seri Sultan Azlah Muhibuddin Shah Al- Maghfur-Lah bagi merasmikan Masjid Toh Puan Besar Hatijah sempena Ramadhan 1435 Hijarah.

Manusia boleh merancang, Allah Subhanahu Wata’ala juga yang Maha mengetahui serta menentukan segala-galanya. DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mangkat pada 28 Mei 2014. Almarhum tidak sempat untuk bersolat di masjid yang telah dibina semula ini. Almarhum telah meninggalkan wasiat agar masjid ini dirasmikan sempena Ramadhan 1435 Hijrah, dan majlis berbuka puasa pertama Sultan bersama rakyat pada tahun ini hendaklah diadakan di masjid ini.” titah baginda sempena Majlis Perasmian Masjid Toh Puan Besar Hatijah dan majlis berbuka puasa bersama rakyat di masjid berkenaan.

Rumah Allah ini diperkenankan oleh Almarhum dinamakan Masjid Toh Puan Besar Hatijah, melambangkan satu pengabadian penghargaan seorang putera kepada seorang bonda. Sebagai pengabadian ingatan kasih sayang Almarhum kepada seorang kakanda, Dewan Serba Guna masjid ini telah diperkenankan oleh Almarhum dinamakan Dewan Raja Baharum Baha’uddin Shah.” titah baginda lagi.

Masjid yang telah dibina sejak tahun 1930-an ini, dahulunya diperbuat daripada kayu dan telah dibina semula berasaskan batu bata sekitar tahun 1970-an sebelum Almarhum DYMM Sultan Azlan Muhibbuddin Shah menitahkan agar masjid ini dibina semula pada akhir tahun 2006.

Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada 9 Oktober 2008 dan Almarhum DYMM Sultan Azlan Muhibbudin Shah telah memberikan sepenuh perhatian, secara langsung memantau dan mengawas kerja-kerja pembinaan semula masjid ini. Almarhum DYMM Sultan Azlan Muhibbudin Shah turut memberikan sentuhan peribadi kepada reka bentuk, hiasan dalam dan komposisi kompleks masjid.

Terdahulu, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama adinda baginda, YTM Raja Datuk Seri Azureen dan YTM Raja Datuk Seri Eleena serta kerabat diraja yang lain menziarahi makam Toh Puan Besar Hatijah di Tanah Perkuburan Segedup berhampiran masjid tersebut.

Masjid Toh Puan Besar Hatijah sebelum ini dikenali sebagai Masjid Daerah Batu Gajah dan masjid ini merupakan masjid pertama dirasmikan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhibbuddin Shah berkenan menyampaikan bantuan Aidilfitri Tahun 2014 kepada wakil Mukim Chemor.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhibbuddin Shah bersalaman dan beramah mesra bersama ketua jabatan dan tetamu yang hadir.
Ketua-ketua jabatan dan orang ramai yang hadir ke Perasmian Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Batu Gajah.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhibbuddin Shah bersama tetamu kehormat membaca doa kesyukuran selepas selesai masjlis perasmian masjid.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muhibbuddin Shah berkenan menyampaikan bantuan Aidilfitri Tahun 2014 kepda wakil Mukim Ipoh.

Sumber: Korporat, SUK Perak.