DYTM Raja Muda Perak Dan DYAM Raja Di-Hilir Perak Angkat Sumpah Pangkat Gelaran Di Hadapan DYMM Sultan Perak - 1 Julai 2014

DYTM  Raja Muda Perak, Raja Dato' Seri Jaafar bin Raja Muda Musa mengangkat sumpah di hadapan DYMM Sultan Perak.

Kuala Kangsar, 1 Julai 2014 - DYTM Raja Muda Perak, Raja Dato’ Seri Jaafar bin Raja Muda Musa dan DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah mengangkat sumpah lantikan dan kurniaan gelaran masing-masing di hadapan DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Bukit Chandan Kuala Kangsar.

Setelah selesai mengangkat sumpah, DYTM Raja Dato’ Seri Jaafar bin Raja Muda Musa dan DYAM Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah seterusnya menandatangani watikah pangkat gelaran dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani.

Pada majlis istiadat angkat sumpah berkenaan, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin turut mengisytiharkan isteri DYTM Raja Dato’ Seri Jaafar bin Raja Muda Musa dengan kurniaan gelaran DYTM Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani binti Raja Shahar Shah, manakala isteri kepada DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Dato’ Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dikurniakan gelaran DYAM Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya binti Sultan Abdul Halim, berkuat kuasa mulai hari ini.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kemudiannya menyampaikan watikah kurniaan gelaran kepada DYTM Raja Nor Mahani binti Raja Shahar Shah dan DYAM Tunku Soraya binti Sultan Abdul Halim.

Majlis yang berlangsung kira-kira sejam bermula jam 5.00 petang itu turut dihadiri YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.

DYAM  Raja Di Hilir Perak, Raja Dato' Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah  mengangkat sumpah di hadapan DYMM Sultan Perak.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin menyampaikan watikah kurniaan gelaran kepada DYAM Tunku Soraya binti Sultan Abdul Halim.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin menyampaikan watikah kurniaan gelaran kepada DYTM Raja Nor Mahani binti Raja Shahar Shah Shah.
DYTM  Raja Muda Perak, Raja Dato' Seri Jaafar bin Raja Muda Musa dan DYAM  Raja Di Hilir Perak, Raja Dato' Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris Shah bersama pasangan di akhir majlis.
YB Setiausaha Kerjaan Negeri, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak dan YB Pegawai Kewangan Negeri Perak turut hadir ke Istana Iskandariah.

Sumber: Korporat, SUK Perak.