Tahap Penggunaan Bahasa Melayu Di Jabatan Kerajaan Negeri Perak Berada Di Tahap Sangat Baik - 4 Julai 2014

YBhg. Dato Razali bin Othman menyampaikan cenderahati kepada Puan Rooziah binti Mohd Yunus, pegawai Perancang Bahasa dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ipoh, 4 Julai 2014 - Hasil pembentangan laporan Audit Bahasa Melayu yang dijalankan Dewan Bahasa dan Pustaka, didapati tahap penggunaan bahasa Melayu di Jabatan Kerajaan Negeri Perak berada di tahap sangat baik iaitu aras 5 dengan 98.1%.

Tahap penggunaan bahasa Melayu ini meliputi urusan surat-menyurat, notis, minit mesyuarat, memorandum/memo, laporan, nota pembentangan, dokumen edaran, teks pengacaraan, teks doa, teks ucapan dan maklum balas aduan.

Hasil audit yang dijalankan Dewan Bahasa dan Pustaka juga menemui mutu Bahasa Melayu yang digunakan di Jabatan Kerajaan Negeri Perak adalah pada tahap baik iaitu aras 4 dengan 82.45 %.

Laporan pembentangan audit telah disampaikan oleh pegawai Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka, Puan Rooziah binti Mohd Yunus sempena Mesyuarat Penutup Audit Bahasa Melayu yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Pembentangan ini turut dihadiri YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Razali bin Othman dan wakil-wakil daripada setiap bahagian dan jabatan di Negeri Perak.

Dewan Bahasa dan Pustaka telah menjalankan audit Bahasa Melayu di jabatan-jabatan Negeri Perak pada April lalu. Antara jabatan kerajaan yang diaudit oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Tanah dan Galian Perak.

Di akhir pembentangan, Dewan Bahasa dan Pustaka turut mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi memantapkan lagi mutu bahasa Melayu di Jabatan Kerajaan Negeri Perak seperti menjalankan kempen kesedaran Dasar Bahasa Melayu Kebangsaan, mengadakan kursus Bahasa Melayu, mewajibkan semua pegawai mengikuti kursus Bahasa Melayu dan penulisan dokumen rasmi, mewujudkan pegawai perujuk bahasa, memastikan semua dokumen rasmi melalui penyuntingan rapi dan menjalankan audit dalaman.

  Antara wakil dari jabatan kerajaan negeri yang hadir ke Bilik Gerakan Negeri.
Pegawai Perancang Bahasa dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka ketika pembentangan Laporan Audit Bahasa Melayu.
Wakil dari JKR bertanyakan sesuatu kepada pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wakil dari setiap jabatan sedang mendengar pembentangan laporan oleh Puan Rooziah binti Mohd Yunus.
YBhg. Timbalan SUK (Pengurusan), Dato' Razali bin Othman bertanyakan soalan kepada pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Sumber: Korporat, SUK Perak.