Taklimat GST Tingkatkan Pemahaman Dan Pengetahuan Penjawat Awam - 11 Julai 2014

Kakitangan  Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang dianugerahkan sijil pekerja cemerlang bulanan bergambar bersama YBhg. Dato' Haji Razali bin Othman.

Ipoh, 11 Julai 2014 - Bersempena Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Perkhidmatan Awam Bangunan Perak Darul Ridzuan Bil 5/2014, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah mengadakan satu taklimat khas berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Taklimat mengenai pengenalan dan kesedaran GST telah disampaikan oleh Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Tuan Nor Ismail bin Sabian bertempat di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Antara agenda utama taklimat ialah menerangkan lebih lanjut jenis-jenis cukai yang terdapat di negara ini seperti cukai langsung dan cukai tidak langsung, apakah itu GST, cadangan model GST dan contoh barang yang dikenakan cukai GST.

“GST dilaksanakan bagi mengatasi kelemahan cukai jalan dan cukai perkhidmatan yang sedia ada kerana GST lebih cekap, berkesan telus dan mesra perniagaan” kata Tuan Nor Ismail bin Sabian.

Menurut Tuan Nor Ismail bin Sabian semasa, GST tidak akan membebankan rakyat dan tidak akan memiskinkan mereka terutamanya yang berpendapatan rendah dan pertengahan kerana GST tidak akan dikenakan kepada makanan dan keperluan asas. Kata beliau lagi,GST juga bukanlah cukai baru tetapi ia cukai bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (CJP).

Selain warga bangunan SUK, taklimat yang berlangsung hampir 2 jam ini turut dihadiri YB Pegawai Kewangan Negeri Perak, YB Dato’ Haji Mohd. Gazali bin Jalal dan YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Razali bin Othman.

Bacaan ikrar dari warga perkhidmatan awam Bangunan SUK Perak.
Penjawat awam bertanyakan sesuatu berkaitan GST kepada Tuan Nor Ismail Sabian ketika sesi soal jawab.
Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Tuan Nor Ismail bin Sabian ketika menyampaikan taklimat GST.
Warga Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ketika Majlis Bacaan Yassin sebelum Majlis Perhimpunan Bulanan Bil 5 2014 bermula.
YB Dato' Haji Mohd Gazali bin Jalal, YBhg. Dato' Haji Razali bin Othman, YBhg. Dato' Abu Bakar bin Haji Said dan En Md Ali bin Aziz ketika Majlis Bacaan Yassin sempena perhimpunan bulanan.

Sumber: Korporat, SUK Perak.