Al-Quran Sebagai Landasan Serta Rujukan Utama-DYMM Sultan Perak - 14 Julai 2014

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Masjid Ghufraniah, Sungai Siput.

Sungai Siput, 14 Julai 2014 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Al-Quran bukan sekadar wajib dibaca, malah wajib difahami, dihayati dan dijadikan landasan pegangan serta sumber rujukan utama kepada manusia bagi mentadbir urus kehidupan.

“Sesungguhnya pemerintahan dan pentadbiran berlandaskan Al-Quran, adalah pemerintahan dan pentadbiran yang mengandungi roh takwa, berupaya menyemaikan nilai-nilai ketelusan, keikhlasan, kejujuran dan integriti yang tinggi di dalam jiwa seorang hamba ketika melaksanakan tanggung jawab sesama insan, begitu juga ketika menyempurnakan amanah Allah SWT. Pemerintahan dan pentadbiran yang diasaskan kepada roh Al-Quran, Insya Allah dapat membangunkan ummah dan watan yang sentiasa mendapat rahmat, keredaan dan lindungan Ilahi.” Titah baginda sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran1435 Hijrah Peringkat Negeri Perak dan Perasmian Masjid Ghufraniah di Sungai Siput ( Utara), Perak.

DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa ucapan baginda turut menyentuh mengenai kaedah mengajar dan kaedah belajar Al-Quran yang diamalkan ketika ini. Menurut baginda, amatlah perlu pengajaran Al-Quran diberikan tumpuan lebih utama kepada aspek fahaman, penghayatan, apresiasi dan amalan.

“Pengajaran dan pembelajaran Al-Quran hendaklah mengatasi peringkat ritualisme. Pengajian dan pembelajaran Al-Quran hendaklah merentasi tahap bacaan dan tahap hafalan. Pengajian dan pembelajaran Al-Quran tidak harus terhenti selepas membaca tiga puluh juzuk, tetapi hendaklah disemaikan budaya mempelajari Al-Quran sepanjang waktu.” Titah baginda.

Berangkat sama meraikan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran 1435 H dan perasmian Masjid Ghufraniah, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar bin Raja Muda Musa dan DYAM Raja Di-Hilir Perak, Raja Seri Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut hadir YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan.

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersalaman dan beramah mesra bersama tetamu yang hadir ke Masjid  Ghufraniah , Sungai Siput.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama-sama  DYTM Raja Muda, DYAM Raja D-Hilir dan YAB Menteri Besar Perak membaca doa sebaik selesai majlis perasmian masjid.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerima cenderamata dari pihak pengurusan masjid.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Skim Bantuan Hari Raya Asnaf Fakir Miskin Masjid-Masjid bagi Mukim Senggang.
Wakil penerima Skim Bantuan Hari Raya Asnaf Fakir Miskin bagi setiap mukim bergambar bersama DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan YAB Menteri Besar Perak.

Sumber: Korporat, SUK Perak.