Perak Galakkan Pelabur Mengusahakan Bangunan Lama Sebagai Penginapan Pelancong : 19 April 2024

Perak Galakkan Pelabur Mengusahakan Bangunan Lama Sebagai Penginapan Pelancong.

Kali terakhir penganugerahan ini diadakan adalah pada tahun 2017

IPOH, 19 April 2024 - Kerajaan Negeri Perak menggalakkan mana-mana pelabur berkaitan pelancongan mengambil alih bangunan-bangunan lama dan terbiar untuk dijadikan kemudahan penginapan yang bersesuaian bagi pelancong di negeri ini.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Encik Loh Sze Yee berkata demikian dalam satu sidang akhbar ketika merasmikan Majlis Pra Pelancaran Perak Tourism Awards 2024 Sempena Tahun Melawat Perak 2024 di Hotel MU, di sini.

“Sebenarnya permintaan untuk pelancong bermalam di negeri ini tinggi, namun disebabkan kekurangan penginapan menyebabkan kebanyakan mereka memilih negeri jiran seperti Pulau Pinang sebagai tempat bermalam.

“Kita tidak minta pemaju bina hotel bertaraf lima atau enam bintang, cukuplah dengan mengambil alih bangunan-bangunan lama sedia ada yang bersesuaian,” katanya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak Management Berhad bersama agensi terlibat bersedia membantu dari aspek pasaran dan promosi secara menyeluruh kepada pelabur yang berminat.

Dalam perkembangan sama, Tourism Perak Management Berhad akan mengadakan Majlis Perak Tourism Awards 2024 pada 13 September tahun ini bagi memberi penghargaan dan anugerah atas jasa, sokongan serta pengorbanan penggiat industri yang komited mempromosikan industri pelancongan negeri Perak.

Menurut Tourism Perak Management Berhad dalam satu kenyataan, sebanyak 40 anugerah akan dipertandingkan terdiri daripada pelbagai kategori antaranya penginapan, perkhidmatan, produk pelancongan dan makanan.

Kali terakhir penganugerahan ini diadakan adalah pada tahun 2017. Pencalonan kali ini akan dibuka selama dua bulan bermula 1 Mei 2024 sehingga 30 Jun 2024.

Hadir sama, YBrs. Yang Dipertua Majlis Daerah Selama, Encik Nor Akmal bin Yang Ghazali; Pengerusi Tourism Perak, YBhg. Dato’ Mohd Kamil bin Dato’ Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Puan Nurmalis binti Musa.

Sumber : Korporat, SUK Perak.