DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Yab Menteri Besar Darul Ridzuan : 20 April 2024

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Yab Menteri Besar Darul Ridzuan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan beramah mesra bersama rakyat

LENGGONG, 20 April 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri YAB Menteri Besar Darul Ridzuan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), di sini.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah dan YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid dan isteri YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; YB Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Encik Chang Lih Kang; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan YB Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah.

Dalam sembah ucapan YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, beliau berkata majlis pada hari ini menjadi satu petunjuk betapa ketibaan syawal tidak sekadar suatu sambutan keagamaan tetapi ia adalah peristiwa yang menyatukan pelbagai budaya dan tradisi rakyat berbilang kaum dan agama untuk bersama meraikan keindahan Aidilfitri dengan semangat kebersamaan.

“Bukan sahaja di Kota Tampan, Lenggong ini, bahkan rakyat merentasi garisan kaum, budaya dan agama di serata pelusok negara memaknakan ketibaan Aidilfitri dengan menghidupkan tradisi rumah terbuka, amalan ziarah menziarahi keluarga dan rakan taulan, sekali gus menyerlahkan semangat toleransi dan hormat menghormati yang selama ini menjadi tunjang kekuatan rakyat Malaysia.

“Kekuatan itulah, yang sekian lama menjadi benteng dalam kita mempertahankan keamanan dan keharmonian negara. Ia dipupuk berkat ikatan ukhwah dan perpaduan rakyat termasuklah di bumi Perak Darul Ridzuan ini, yang sentiasa tegar bergandingan, menyuburkan semangat kekitaan dan menepis budaya perpecahan,” jelasnya.

Mengakhiri majlis, baginda turut berkenan beramah mesra bersama rakyat di sekitar pekarangan KKTM.

Sumber : Korporat, SUK Perak.