Kunjungan Hormat Delegasi Kerajaan Negeri Sarawak Sempena SUKMA Dan Para SUKMA XXI 2024 : 24 April 2024

Kunjungan Hormat Delegasi Kerajaan Negeri Sarawak Sempena SUKMA Dan Para SUKMA XXI 2024.

SUKMA 2024 kali ini akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan manakala Para SUKMA pula pada 20 hingga 28 September depan.

IPOH, 24 April 2024 - Kerajaan Negeri Perak hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Kerajaan Negeri Sarawak sempena Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI, Sarawak 2024 di Bilik Gerakan, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Ketibaan delegasi tersebut disambut oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Encik Khairudin bin Abu Hanipah diiringi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman.

Menurut YB Khairudin bin Abu Hanipah, tujuan utama kunjungan hormat ini adalah bagi menyampaikan warkah jemputan kepada Kerajaan Negeri Perak untuk menyertai temasya SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak selain mempromosikan penganjuran SUKMA dan Para SUKMA edisi ke-21 yang dijadual berlangsung Ogos dan September depan di Sarawak.

“Pihak kerajaan negeri sentiasa memantau dan menyokong segala persiapan atlet dan kontinjen untuk ke temasya SUKMA kali ini.

“Atlet-atlet yang telah dipilih bagi temasya pada kali ini merupakan aset penting negeri Perak memandangkan mereka telah banyak berkorban dari segi masa, tenaga dengan segala kudrat bagi mencapai kejayaan dalam sukan yang diceburi. Kerajaan Negeri Perak juga meletakkan harapan yang tinggi kepada mereka untuk menyumbangkan pingat yang terbaik,” katanya ketika menyampaikan ucapan.

Delegasi Kerajaan Negeri Sarawak diketuai oleh YB Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Belia dan Sukan), Dato’ Gerald Rentap Jabu.

Beliau dalam ucapannya pula berkata sejumlah 37 jenis sukan meliputi 484 acara bakal dipertandingkan dalam temasya yang akan diadakan di sembilan bahagian di Sarawak iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA 2024 kali ini akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan manakala Para SUKMA pula pada 20 hingga 28 September depan.

Hadir sama, YB Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Dato’ Hajah Rosey binti Haji Yunus; YBrs. Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Encik Dolhadi bin Haji Mazuki serta YBrs. Timbalan Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Puan Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe.

Turut mewakili Kerajaan Negeri Perak adalah YBrs. Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Perak, Puan Aida Hazlyn binti Hassan; YBrs. Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Tuan Haji Mazlan bin Mohamad dan YBrs. Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Puan Nor Azah binti Ahmad Dahalan.

Sumber : Korporat, SUK Perak.