DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Peletakan Batu Asas Fasiliti Wakaf IPTTI Dan URCC Serta Sambutan Hari Raya UPSI 2024 : 24 April 2024

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Peletakan Batu Asas Fasiliti Wakaf IPTTI Dan URCC Serta Sambutan Hari Raya UPSI 2024.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke majlis tersebut

TANJONG MALIM, 24 April 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Peletakan Batu Asas Fasiliti Wakaf Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Residential and Community Centre (URCC) serta Sambutan Hari Raya UPSI 2024 di Dewan Tuanku Canselor, UPSI.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim yang juga adalah Canselor UPSI.

Hadir sama, YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman; Pro Canselor UPSI, YBhg. Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zakri bin Abdul Hamid dan isteri, YBhg. Puan Sri Datin Sri Atom binti Yem dan Naib Canselor UPSI, YBhg. Profesor Dato’ Dr Md Amin bin Md Taff.

Dalam sembah ucapan YBhg. Profesor Dato’ Dr Md Amin bin Md Taff, hasil tajaan hampir RM14 juta dari Yayasan Rafulin Holdings Sdn. Bhd., institut ini bakal menjadi sebuah institusi penyelidikan dan pendidikan antarabangsa yang merangka dasar-dasar terkini dalam bidang Tahfiz dan Turath, mempelopori pedagogi yang berteraskan teknologi semasa, serta menjadi markas diskusi ilmu Tahfiz dan Turath di peringkat antarabangsa.

“Institut ini juga akan membantu pemuliharaan manuskrip dan kaedah pembelajaran kitab-kitab Turath yang penulisannya mengikut tradisi ulamak terdahulu seperti Imam Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad.

“Dengan kapasiti 2,000 orang dan dilengkapi dengan perpustakaan, makmal kajian serta makmal pembelajaran, institut ini berhasrat untuk menjadi pusat rujukan dan pengembangan antarabangsa dalam bidang Tahfiz dan Turath Islami,” jelasnya.

Tambahnya lagi, URCC ditubuhkan bagi menyediakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menyediakan ruang penginapan bertaraf antarabangsa kepada lebih 2,400 pelajar antarabangsa dan tempatan.

“Ia berkonsepkan apartmen tiga bilik, URCC akan dilengkapi dengan teknologi terkini yang mesra alam, minimalis namun kondusif. Unit keluarga, unit antarabangsa, unit Orang Kurang Upaya (OKU) dan unit peribadi akan membolehkan mahasiswa UPSI memilih penginapan berdasarkan keperluan mereka,” katanya.

Mengakhiri majlis, baginda berdua turut berkenan bersantap sempena jamuan Hari Raya Aidilfitri bersama warga kerja UPSI.

Sumber : Korporat, SUK Perak.