SUK Perak Johan Kawad Terbaik Sempena Hari Kebangsaan Ke-57 - 31 Ogos 2014

Kontinjen Kawad SUK Perak merai kejayaan mereka apabila dinobatkan Pasukan Kawad Terbaik dan Kontinjen Pakaian Terbaik Keseluruhan.

IPOH, 31 OGOS 2014 - Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut apabila muncul johan Kontinjen Kawad Terbaik bagi kategori Jabatan Kerajaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-57 Peringkat Negeri Perak.

Kontinjen Kawad Pejabat SUK Perak juga turut dipilih sebagai pemenang bagi Kategori Kontinjen Pakaian Terbaik Keseluruhan setelah mempamerkan reka bentuk dan kreativiti pakaian kontinjen yang kreatif dan bersesuaian dengan tema pada Sambutan Kemerdekaan pada kali ini iaitu “Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.” 

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak menerima keseluruhan RM 6,000 berserta sijil iaitu RM 3,000 bagi Johan Kategori Kontinjen Kawad Terbaik dan RM 3,000 bagi tempat pertama Kontinjen Pakaian Terbaik Keseluruhan yang disampaikan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir di Dewan Bandaran Ipoh.

Turut berangkat hadir bagi memeriahkan Sambutan Kemerdekaan Ke- 57 Peringkat Negeri Perak, DYMM Seri Paduka Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar bin Raja Muda Musa dan DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya binti Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Mohd. Gazali bin Jalal; YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Razali bin Othman, barisan EXCO Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan.

Pada tahun ini, seramai 4,989 peserta mengambil bahagian mewakili 102 kontinjen sempena Sambutan Program Kemerdekaan dan sambutan kali ini diadakan secara sederhana kerana Perak masih melalui hari berkabung selama 100 hari ekoran kemangkatan Almarhum Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah memberi tabik hormat kepada Pasukan Kawalan Kehormat Utama.
Kontinjen Perbarisan SUK Perak ketika melalui Pentas Kehormat di hadapan Dewan Bandaran Ipoh.
Pemenang-pemenang bagi setiap kategori bergambar kenangan bersama YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir menyampaikan hadiah kepada wakil kontinjen SUK yang diwakili YBhg. Dato' Haji Razali bin Othman.

Sumber: Korporat, SUK Perak.