DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi HHA Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 : 30 April 2024

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Rasmi HHA Peringkat Kebangsaan Tahun 2024.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika melakukan gimik perasmian.

IPOH, 30 April 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa (HHA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YB Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad dan isteri, YBhg. Puan Noor Farah Rahim; YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; Yang Di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohd Zahir bin Abdul Khalid dan isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah.

Turut hadir, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim; YBhg. Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Indera Mohd Ridza bin Awang; YBhg. Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Dato' Mohd Basri bin Abdul Manaf serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, pemilihan negeri Perak sebagai lokasi sambutan pada tahun ini bukan sahaja suatu pengiktirafan besar terhadap kekayaan biodiversiti dan topografi negeri ini tetapi juga merupakan penghormatan terhadap usaha kerajaan di bawah naungan DYMM Paduka Seri Sultan Perak dalam menjayakan Tahun Melawat Perak 2024.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah merangka pelbagai inisiatif supaya khazanah hutan di bumi bertuah Perak Darul Ridzuan ini diurus dengan sebaik-baiknya. 

“Sehingga 31 Mac 2024, keluasan keseluruhan Hutan Simpanan Kekal adalah sejumlah 988,826.98 hektar yang mewakili 96.4% daripada keluasan kawasan berhutan di negeri Perak.

“Sepanjang tahun 2023, Kerajaan Negeri telah mewartakan seluas 4,655.55 hektar Hutan Simpanan Kekal baharu yang melibatkan 4,520.75 hektar hutan darat dan 134.80 hektar hutan paya laut,” katanya.

Ujar beliau lagi, tambahan keluasan tersebut juga mengekalkan status Perak sebagai negeri yang mempunyai Hutan Simpan Kekal tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak 47%,” menurutnya.

“Kerajaan Negeri Perak juga telah mengenal pasti kawasan hutan paya laut di Tanah Kerajaan Mukim Kuala Kurau dengan keluasan 880 ekar atau kira-kira 356.12 hektar untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal yang baharu.

“Kita juga telah memperuntukkan RM66.3 juta tahun ini bagi meneguhkan agenda Kelestarian Alam Sekitar, sejajar dengan Fokus Keempat Pelan Perak Sejahtera 2030 dan daripada jumlah itu, 81% atau sebanyak RM53.9 juta telah diagihkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak,” ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan turut berkenan melakukan gimik penanaman pokok dan lawatan ke reruai-reruai pameran yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Perak; Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia; Jabatan Perhutanan Sabah; Jabatan Perhutanan Sarawak; Malaysia Biodiversiy Information System (MyBIS); Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM); Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia; Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan lain-lain.

Sumber : Korporat, SUK Perak.