Perak Lancar KUDR, Jadikan Pengurusan Utiliti Lebih Terancang : 2 Mei 2024

Perak Lancar KUDR, Jadikan Pengurusan Utiliti Lebih Terancang.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan.

IPOH, 2 Mei 2024 - Kerajaan Negeri Perak telah melancarkan Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR), satu penyelesaian bersepadu yang akan menjadi One Stop Agency (OSA) bagi pengurusan utiliti yang lebih terancang di seluruh negeri.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata, ia merupakan satu inisiatif bersama membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan pelabur tempatan tanpa suntikan kewangan Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, penubuhan KUDR selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 5 Januari 2022 berdasarkan kajian terhadap kesesuaian dan kebolehlaksanaannya di Perak oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri.

"KUDR akan menjadi pemudah cara dalam melancarkan proses penyediaan infrastruktur utiliti di negeri ini seperti elektrik, air, gas, telekomunikasi dan sistem pembetungan selain membolehkan pemasangan dan penyelenggaraan utiliti dilakukan secara terancang cekap, dan terkawal.

"Ia juga adalah langkah proaktif bagi menangani isu dan cabaran seperti kompleksiti urusan permit korekgali, kesukaran pihak berkuasa memberi kelulusan serta memantau kerja utiliti, dan kesulitan mendapatkan data utilitiĀ  dengan spesifikasi tepat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) di Casuarina@Meru, di sini.

Hadir sama, YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak serta YBrs. Ketua Pegawai Eksekutif KUDR, Encik Adham Nasri bin Mohamad.

Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, kerajaan Negeri yakin pendekatan inovatif dan inklusif ini akanĀ  menjurus kepada kesejahteraan rakyat, serta menjamin kesinambungan penyampaian kemudahan dan perkhidmatan awam di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu.

"Rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, fasiliti kerajaan yang lebih baik dan keselamatan yang lebih terjamin melalui perkhidmatan KUDR.

"Selaras dengan sasaran Perak Sejahtera 2030, KUDR telah membangunkan satu sistem atas talian iaitu KUDRAT bagi memperkasa ekonomi digital, pembuatan keputusan dipacu data serta tadbir urus projek berkepentingan negeri," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, bermula 1 April 2024 yang lalu, KUDR telah mula menerima permohonan korek gali utiliti melalui sistem KUDRAT dan kerajaan negeri mengalu-alukan sokongan padu semua pemegang taruh bagi menjayakan pelan transformasi digital yang lebih efisien dan telus.

Sumber : Korporat, SUK Perak.