YAB MB Perak Meriahkan Majlis Riang Ria Aidilfitri GLC Negeri Perak : 3 Mei 2024

YAB MB Perak Meriahkan Majlis Riang Ria Aidilfitri GLC Negeri Perak.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim.

IPOH, 3 Mei 2024 - YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri YBhg. Datin Seri Aezer binti Zubin hadir memeriahkan Majlis Riang Ria Aidilfitri Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan, di sini.

Majlis tersebut julung kali diadakan secara serentak oleh kesemua GLC di negeri Perak dengan jumlah kehadiran kira-kira 10,000 orang.

YAB Dato' Seri Saarani dalam ucapannya berkata, majlis tersebut bukan sahaja menghimpunkan warga kerja GLC di negeri Perak malah turut meraikan pelanggan dan rakan-rakan strategik syarikat berkaitan kerajaan dalam dan luar negeri.

"Majlis ini cukup istimewa kerana menghimpunkan semua entiti yang menjadi tulang belakang GLC negeri.

"Selain itu, melalui majlis seperti ini, saya berharap agar ia dapat memperkukuhkan lagi silaturahim dan menanamkan semangat kekeluargaan serta perpaduan antara kita," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; ketua-ketua pegawai eksekutif GLC serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, kebanyakkan GLC di negeri ini telah mencipta kejayaan demi kejayaan dari segi peningkatan hasil dan keuntungan.

"Seperti contoh, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) yang telah memperoleh pendapatan sebanyak RM800 juta serta menyumbang sehingga RM55.3 juta kepada kerajaan negeri dan ia merupakan angka tertinggi pernah direkodkan.

"Begitu juga Lembaga Air Perak (LAP) yang mencipta reputasi membanggakan dengan menjadi antara pengurusan air terbaik di negara ini dengan menerima pelbagai pengiktirafan," ujarnya lagi.

Pada majlis tersebut, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkesempatan menyampaikan sijil penghargaan kepada 12 GLC di negeri Perak.

Sebelum meninggalkan majlis, beliau dan isteri turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dan melakukan lawatan ke Rumah Raya GLC.

Sumber : Korporat, SUK Perak.