Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 : 4 Mei 2024

Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024.

Gelagat anak-anak cilik bomba ketika perarakan

IPOH, 4 Mei 2024 - Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 (SHAB 2024) yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim di Jalan Tambun, Sunway City, Ulu Kinta, pagi ini berlangsung dengan meriah serta gilang-gemilang.

Ketibaan beliau telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dan YB Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Tuan Nga Kor Ming seterusnya beliau menerima Hormat Perdana dan diberi penghormatan untuk memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan Bomba yang terdiri daripada 2 pegawai dan 99 anggota lain-lain pangkat.

Kawalan Kehormatan Bomba ini diketuai oleh Penguasa Kanan Bomba II, Encik Mohamad Firdaus Khan bin Anwat Khan dengan diiringi Pasukan Pancaragam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pimpinan Penolong Kanan Penguasa Bomba, Encik Ahmad Najabah bin Zuel.

Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia yang disambut pada 4 Mei setiap tahun merupakan satu acara penuh simbolik yang ditujukan khas bagi memperingati dan menghargai pengorbanan serta jasa bakti yang telah diberikan oleh anggota bomba di seluruh dunia.

Tema sambutan tahun ini, “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” telah dipilih sekali lagi bagi membawa simbolik kepada komitmen dan dedikasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk sentiasa menjadi benteng hadapan dan tiang utama negara bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan doa oleh Penguasa Bomba, Pegawai Hal Ehwal Agama dan Kebajikan JBPM, Encik Luqman bin Ramli diikuti lafaz Ikrar Wira Merah yang diketuai oleh YS Penolong Pesuruhjaya Bomba, Timbalan Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Encik Rozihan Anwar bin Mamat.

Kemeriahan sambutan kali ini turut diselitkan dengan deklamasi sajak oleh Pegawai Bomba, JBPM Negeri Sabah, Encik Mohd Fauzi bin Jamikah dari bertajuk “Wira Merah Setia Menjunjung Amanah” yang berkisarkan tentang perjuangan Wira Merah yang tidak pernah berhenti menabur bakti.

Perhatian hadirin kemudiannya beralih ke ruang udara Tambun apabila seramai lima orang penerjun ‘Smoke Jumper JBPM” melakukan terjunan payung terjun pada ketinggian 4,000 kaki dan mendarat dengan selamat sebelum menyerahkan kapak simbolik kepada YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim yang kemudiannya meletakkan ia di slot khas bagi merasmikan SHAB 2024 dengan diiringi oleh Ketua Pengarah JBPM, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad.

YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim kemudiannya dihadiahkan dengan potret memori tahun 1997 di mana beliau merupakan individu penting dalam menjayakan misi memadam kebakaran rentas sempadan (Ops Jerebu) yang membabitkan 1,200 orang anggota dan mengambil masa selama 25 hari. Potret ini dihadiahkan kepada beliau sebagai kenangan beliau bersama pasukan bomba.

SHAB 2024 turut mencatatkan sejarah jabatan apabila kali ini bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk melancarkan setem memaparkan aset udara, darat dan air milik JBPM yang dikeluarkan khas sempena sambutan tahun ini.

Majlis sambutan kemudiannya diteruskan lagi dengan persembahan kebombaan oleh Pasukan Khas JBPM kemudian disusuli dengan Perarakan Berjalan Lalu oleh 29 kontinjen dan 57 jentera yang melibatkan seramai 1,400 keanggotaan.

Hadir sama, YB Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Wira M Noor Azman bin Taib; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin dan barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sumber : Korporat, SUK Perak.