Negara Perlu Perangi Rasuah Secara Menyeluruh – DYMM Paduka Seri Sultan Perak - 1 Oktober 2014

KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER 2014 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar agensi penguat kuasa perlulah mengambil langkah secara menyeluruh bagi menangani gejala rasuah di negara ini.

“Negara tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar yang sedang berlaku. Ia cabaran besar kepada negara. Ia bukan sakit tekak yang bersifat sementara, boleh diubati dengan gula-gula strepsil. Ia penyakit sosial yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan pakar bedah sosial, memerlukan formula perubatan dari farmasi sosial yang berupaya merangka dasar sosial yang komprehensif lagi holistik untuk dilaksanakan.” titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR/SPRM) Ke-47 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur.

Titah baginda, rasuah merupakan salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, mengakibatkan ketirisan khazanah negara, pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, agihan kekayaan tidak seimbang, peningkatan kemiskinan serta mendorong kepada berlakunya ketidakstabilan politik.

Menurut DYMM Paduka Seri Sultan Perak, banyak negara di dunia ini dianugerahi rahmat dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah, negara itu berada di dalam kemunduran dan kemiskinan.

Titah baginda “Kekayaan negara disalah guna, hasil mahsul lesap, akibatnya kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, ia akan tumbuh melebar – subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, hingga memusnahkan sesebuah negara bangsa.”

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, usaha memerangi rasuah wajib diberi fokus kepada dua aspek utama iaitu aspek langkah punitif yang tegas dan tidak selektif yang dilaksanakan tanpa gentar dan tanpa pilih kasih, manakala aspek kedua ialah langkah preventif untuk mengukuhkan integriti.

“Bahawa kehidupan dunia adalah ujian. Pangkat dan jawatan adalah ujian. Amanah dan tanggung jawab adalah ujian. Menegak yang makruf dan menentang yang mungkar adalah satu tuntutan. Setiap janji yang diungkapkan, setiap perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan akan diperiksa pada hari kebangkitan, di Mahkamah Rabbuljalil di Padang Mahsyar ketika itu tidak ada Peguam Bela untuk membela dosa yang telah dilakukan, begitu juga amanah yang gagal disempurnakan.” titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum mengakhiri ucapan baginda di majlis berkenaan.

 

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan menyambut keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersalaman bersama tetamu yang hadir ke Dewan Konvensyen Kuala Lumpur.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah mengenai senario dan cabaran rasuah di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed menyampaikan cenderahati kepada DYMM Sultan Perak.

Sumber: Korporat, SUK Perak.