Buletin SUK Perak Memenangi Tempat Pertama Hadiah Suar Bahasa 2014 - 8 Oktober 2014

suar_bahasa

PULAU PINANG, 8 OKTOBER 2014 - Buletin S.U.K Perak, berjaya memenangi tempat pertama Hadiah Suar Bahasa 2014 bagi Kategori Penerbitan Buletin Terbaik anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Utara Sempena Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan 2014.

Hadiah Johan Kategori Penerbitan Buletin Terbaik disampaikan TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman kepada wakil Pejabat SUK Perak, YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Razali bin Othman ketika Karnival Bahasa Jiwa Bangsa dan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang di Tesco Extra, Seberang Jaya. Pada majlis tersebut juga, Buletin Al-Zikra telah dipilih sebagai pemenang bagi Hadiah Suar Bahasa Wilayah Utara 2014.

Hadiah Suar Bahasa 2014 merupakan program yang julung-julung kali diadakan di Wilayah Utara yang bermatlamat memberikan pengiktirafan kepada pelbagai pihak tidak kira kerajaan ataupun swasta dalam menerbitkan majalah, buletin, laporan dan risalah bagi menyampaikan kepada masyarakat pelbagai kegiatan yang telah berlangsung dan akan berlangsung di setiap jabatan tersebut.

Bagi Hadiah Suar Bahasa 2014 Kategori Penerbitan, pemenang dipilih berdasarkan aspek teknikal dan kreativiti penerbitan seperti konsep dan reka bentuk kulit, reka letak (lay out) dalaman, Ilustrasi gambar, format dan kreativiti penyampaian/ persembahan secara keseluruhan.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan.

 

TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman berkenan merasmikan majlis pelancaran tersebut.
Antara tetamu yang hadir di Karnival Bahasa Jiwa Bangsa dan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Pemenang-pemenang bergambar bersama TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman.

Sumber: Korporat, SUK Perak.