Mendisiplinkan Diri Memberi Perkhidmatan Yang Terbaik – YAB Menteri Besar - 10 November 2014

assembly

IPOH, 10 NOVEMBER 2014 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir berharap warga pentadbiran Kerajaan Negeri Perak dapat terus memantap dan mendisiplinkan diri dalam usaha memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Kita ingin melakukan pembaikan, kita bergerak dari satu tahap ke satu tahap untuk melihat bagaimana kita sebagai satu keluarga, warga pentadbiran Kerajaan Negeri Perak dapat terus memantapkan diri dari masa ke semasa dalam usaha untuk memastikan perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.” kata YAB Menteri Besar Perak ketika Majlis Perhimpunan Bersama Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Bangunan Seri Perak Darul Ridzuan di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan.

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir dalam ucapan beliau turut menyentuh beberapa perkara bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Pertama beliau berharap penjawat awam di Negeri Perak perlu memastikan prestasi mereka sentiasa berada pada tahap yang terbaik dan amanah pada tugas dan arahan yang diberikan kepada mereka.

“Ini adalah tanggungjawab semua termasuk diri saya sebagai Menteri Besar. Saya tidak boleh hanya memberi arahan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian, tetapi saya tidak melaksanakan arahan-arahan itu. Contoh perlu ditunjukkan oleh Ketua Jabatan dan masing-masing yang bekerja dalam sesuatu jabatan itu.”

Perkara kedua yang disentuh YAB Menteri Besar ialah "System Delivery" (penyampaian). Beliau berkata, atas dasar nasihat menasihati di antara satu sama lain semua warga perkhidmatan awam Perak perlu memperingatkan diri masing-masing tentang konsep ini.

Seterusnya YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir menyentuh mengenai kelajuan dan kepantasan penjawat awam Negeri Perak dalam melaksanakan sesuatu keputusan yang diputuskan oleh kerajaan.

“Yang ketiganya iaitu "Speed", bila kita mengamalkan "System Delivery", kita perlu melaksanakan "Speed", kelajuan, kepantasan melaksanakan sesuatu keputusan yang diputuskan oleh kerajaan. Adalah malang kalau keputusan yang dibuat pada tahun 2014, hanya akan dilaksanakan pada tahun 2015 ataupun keputusan yang dibuat pada tahun 2013 hanya akan dibuat atau dilaksanakan pada tahun 2015.”

Perkara terakhir yang disentuh YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir ialah pelaksanaan atau penguatkuasaan. Menurut beliau aspek ini sangat penting kerana ia merupakan sebahagian dalam diri seseorang penjawat awam dalam melaksanakan arahan-arahan yang telah diputuskan. Menurut YAB Menteri Besar, adalah menjadi tanggunjawab semua untuk bersama-sama memastikan bahawa pelaksanaan dan penguatkuasaan dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya.

Di akhir ucapan, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir turut melahirkan rasa puas hati beliau terhadap tahap pencapaian kerajaan negeri setakat ini. Namun beliau berharap ianya perlu diperbaiki dari masa ke semasa.

“Walau bagaimanpun saya berpuas hati tahap pencapaian kita setakat ini, namun kita perlu perbaiki dari masa ke semasa dan mengambil pendekatan iaitu berusaha terus untuk memperbaiki diri kita dengan harapan hari esok lebih baik daripada hari ini, hari ini lebih baik daripada hari semalam. Itulah manusia, sifat-sifat manusia yang positif yang sentiasa mahu melakukan usaha-usaha pembaikan terhadap diri kita.” ujar beliau di Majlis Perhimpunan Bersama Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Bangunan Seri Perak Darul Ridzuan.

assembly YB Setiausaha Kerajaan Negeri,YB Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Pegawai Kewangan Negeri, dan Barisan EXCO-EXCO Kerajaan Negeri turut hadir bagi mendengar amanat YAB Menteri Besar.
assembly YB Menteri Besar bersalaman bersama YBhg. Timbalan SUK (Pengurusan) Perak, Dato' Hj. Razali bin Othman.
assembly YAB Menteri Besar Perak bersalaman bersama pegawai di setiap bahagian sambil diiringi YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan.
assembly Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan dan Bangunan Seri Perak Darul Ridzuan berhimpun di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan.
assembly YAB Menteri Besar Perak bersalaman dan beramah mesra dengan penjawat awam selepas selesai memberi ucapan.

Sumber: Korporat, SUK Perak.