Pemerintahan Berpaksikan Undang-Undang Al-Quran – DYMM Sultan Perak : 3 Januari 2015

undang_alquran
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bersalaman dan beramah mesra bersama tetamu yang hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Peringkat Negeri Perak.

Ipoh, 3 Januari 2015 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa, pentadbiran negara Islam di negara ini seharusnya pentadbiran yang menjunjung prinsip pemerintahan berpaksikan undang-undang yang bersumberkan Al-Quran sepertimana pentadbiran negara Islam yang diterapkan Rasulullah S.A.W.

“Negara Islam bukannya satu matlamat, Negara Islam tidak terbentuk sekadar menamakannya sebagai Negara Islam, tetapi Negara Islam adalah satu kaedah untuk mewujudkan satu sistem pemerintahan yang melakukan amal makruf dan menegah kemungkaran, rakyatnya hidup dalam suasana damai lagi rukun, saling bekerjasama, saling menghormati, bersatu dan berpadu mempertahankan kedaulatan watan, meluhurkan piagam atau perlembangaan negara serta mendaulatkan undang-undang untuk memastikan berlakunya keadilan agar negara dilimpahi Ilahi dengan rahmat keamanan dan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan.” titah baginda sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1436H, Peringkat Negeri Perak di Aman Jaya Convention Centre Casuarina, Bandar Meru Raya.

Titah baginda, Negara Islam yang dipimpin oleh Rasulullah mengutamakan keadilan kerana keadilan adalah faktor yang menentukan rasa hormat dan penerimaan rakyat kepada pemimpin. DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sifat adil yang diamalkan oleh Rasulullah tidak hanya dinikmati oleh umat islam malah keadilan turut dinikmati oleh pengganut bukan beragama islam.

“Bukan Islam turut dijamin perlindungan keselamatan, dijamin kebebasan menganut agama, dijamin boleh mengamalkan budaya masing-masing, dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan usaha-usaha pembangunan sosial. Rumusannya Perlembagaan Madinah menetapkan bahawa setiap insan tanpa mengira pegangan agama, tanpa mengira amalan budaya dijamin hak asasi masing-masing” titah DYMM Sultan Perak.

Pada sambutan Maulidur Rasul 1436H Peringkat Negeri Perak itu, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada bekas Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Khairuddin Arshad dan Anugerah Pendakwah kepada Pengerusi Persatuan India Muslim Perak, Mohd Arib Aliah.

Turut berkenan berangkat ke majlis, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan DYAM Tunku Soraya Sultan Abdul Halim. Turut hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.

undang_alquran Tetamu-tetamu jemputan dan orang ramai yang hadir ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1436H Peringkat Negeri Perak.
undang_alquran DYYM Paduka Seri Sultan Perak, berselawat beramai-ramai bersama dif-dif jemputan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1436H.
undang_alquran DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Anugerah Pendakwah kepada Pengerusi Persatuan India Muslim Perak, Mohd Arib Aliah.
undang_alquran DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada bekas Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Khairuddin Arsha.
undang_alquran DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika memberi titah ucapan di Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1436H di Aman Jaya Convention Centre.

Sumber: Korporat, SUK Perak.