Fokus 2015 : 22 Januari 2015

fokus
YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baru 2015.

IPOH, 22 Januari 2015 - Sempena Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2015, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir menekankan beberapa aspek yang perlu diberi fokus pada tahun 2015. Berikut adalah fokus utama yang disentuh :

1) Masalah banjir

Menurut YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir, beliau ingin segala masalah banjir seperti sistem perparitan dan saliran yang rosak, kerosakan rumah dapat dibaiki dengan segera.

“Saya minta selesaikan masalah banjir. Alhamdulillah, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua…Sekarang ini masuk peringkat pasca banjir, kita tahu akan melibatkan pelbagai aspek, termasuk masalah kesihatannya, masalah denggi, dan masalah penyakit lain yang perlu dilihat.”

2) Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengekalkan dan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan.

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir berharap MBI dan pihak PBT dapat mengatasi masalah-masalah seperti rumput-rumput panjang, sampah sarap, longkang tersumbat, lampu jalan yang rosak dan masalah jalan berlubang.

“Bandar-bandar di seluruh negeri Perak perlu ada roh, identitinya tersendiri. Jangan buat perancangan yang boleh merosakkan roh, identiti bandar-bandar ini. Oleh itu, pokok-pokok besar yang telah berpuluh-puluh tahun tumbuh di dalam bandar janganlah ditebang, selenggara agar tidak membahayakan masyarakat awam.” kata beliau.

3) Pendekatan 3P

Mengaktifkan pendekatan 3P iaitu Turun Padang, Perasaan dan Penyelesaian yang telah diterapkan sebelum ini. Menurut YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir, melalui pendekatan ini, kita dapat melihat dan menyelami sendiri masalah rakyat kerana kaedah ini lebih rapat, cepat, berkesan dan terus kepada pengadu.

4) Mengisi Kekosongan Jawatan Di Jabatan Dan Agensi Kerajaan

YAB Menteri Besar berharap setiap jabatan sekiranya telah berlaku kekosongan jawatan khususnya jawatan-jawatan utama seperti pengarah perlulah segera mengisi kekosongan itu kerana ia penting bagi melakasanakan tugas-tugas yang diberi secara optimum agar tidak menjejaskan kelicinan operasi sistem penyampaian perkhidmatan awam.

5) Semakan Kualiti Kerja Projek-Projek Infra

Meneliti projek-projek infra yang telah siap dan sedang dalam pelaksanaan agar ia mengikut spesifikasi yang sepatutnya. Beliau memberi contoh seperti apa yang berlaku di penempatan orang asli Pos Kemar, apabila jambatan yang dibina dengan kos yang besar roboh akibat banjir.

“YAB Perdana Menteri melihat sendiri mangsa banjir di penempatan orang asli Pos Kemar yang terputus apabila banjir. Jadi kualiti kerja kena diteliti dengan sebaiknya agar ia mengikut spesifikasi yang sepatutnya kerana rakyat sudah semakin pandai menilai kualiti kerja yang dilaksanakan oleh jabatan awam.”

6) Persiapan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11)

Menyediakan perancangan RMK-11 dan setiap jabatan perlulah mengadakan perbincangan untuk melihat keperluan melaksanakan sesuatu di Negeri Perak. Sebagai contoh kata YAB Menteri Besar ialah mencadang dan pastikan Perak mempunyai Ibu Pejabat Polis (IPD) yang baharu.

7) Keutamaan Projek-Projek Negeri

YAB Menteri Besar berharap diadakan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek-projek dengan memberi keutamaan kepada projek-projek negeri yang mana lebih penting.

8) Semakan Manifesto

Menyemak dan melihat semula manifesto yang telah dibuat oleh Kerajaan Barisan Nasional seterusnya memaklumkan mana-mana janji di dalam manifesto itu yang belum terlaksana atau tidak ditunaikan sepenuhnya.

9) Mengurangkan Jenayah

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir berharap pihak polis dan semua pihak dapat bekerja sama dalam mengurangkan masalah jenayah yang berlaku di negeri Perak.

“Tak guna negeri maju kalau rakyat kita takut. Bagus juga ada indikator supaya kita dapat melihat di mana kedudukan kita tetapi pada masa sama, kita kena ingat ketakutan itu berkaitan dengan perasaan rakyat ”

10) Gejala dan Ancaman Dadah

“Lawan habis-habisan masalah dadah ini kerana ia serius di setiap peringkat terutamanya penularan dadah jenis baru ini di kalangan anak muda dan remaja.” kata YAB Menteri Besar.

11) Kesihatan Rakyat

Menurut YAB Menteri Besar, Perak antara negeri tertinggi yang dicatatkan mengenai kes denggi. Menurut beliau lagi, tidak perlulah berasa malu mengenai statistik ini kerana Perak merupakan negeri yang besar. Jadi beliau berharap pihak yang sepatutnya haruslah memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah ini kerana kes denggi adalah merbahaya dan tidak boleh diambil mudah.

12) Usaha Menambah Hasil Negeri

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir meminta kepada semua jabatan-jabatan kerajaan negeri untuk sama-sama berusaha membantu menambahkan hasil negeri bagi mencapai matlamat pembangunan negeri dan pertumbuhan negeri.

13) Hubungan Baik Antara Wakil Rakyat Dan Jabatan Awam

Perlu memperkemaskan hubungan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dengan ketua dan kakitangan awam bagi memastikan matlamat dan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat dapat diselaraskan dan dilaksanakan secara tersusun dan lancar.

fokus Antara ketua-ketua jabatan yang hadir bagi mendengar amanat yang ingin disampaikan YAB Menteri Besar Perak.
fokus Kakitangan awam yang memenuhi kawasan luar Dewan Bankuet bagi bersama-sama mendengar taklimat yang disampaikan YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir.
fokus YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan mengiringi YAB Menteri Besar Perak bersalaman dan beramah mesra bersama tetamu yang hadir di majlis tersebut.
fokus YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zamby bin Abd Kadir beramah mesra bersama kakitangan awam yang hadir selepas selesai memberi ucapan dan amanat pada majlis tersebut.

Sumber: Korporat, SUK Perak.