Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan : 22 Februari 2015

tahunbarucina
DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersalaman dan beramah mesra bersama tetamu yang hadir.

IPOH, 22 FEBRUARI 2015 - Majlis sambutan Tahun Baru Cina 2015 Peringkat Negeri Perak telah diadakan di Kinta Riverfront Hotel & Suites, Ipoh Perak. Majlis yang dihadiri DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan serta DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan itu telah disambut meriah dengan kehadiran lebih kurang 2 ribu orang tetamu jemputan.

YB Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Dato' Dr Mah Hang Soon berkata dalam ucapannya bahawa "Tahun Baru Cina pada asalnya adalah untuk meraikan musim bunga dan juga ketibaan hasil tanaman yang lumayan. Ketika meraikan perayaan ini, masyarakat Cina akan berkumpul dan bersuka ria bersama anak-anak yang pulang ke kampung halaman mereka."

Dalam konteks negara majmuk seperti di negara ini, perayaan Tahun Baru Cina bukan sahaja disambut oleh golongan Cina sahaja malah semua rakyat di negara ini boleh meraikan perayaan yang ada. Rakyat di negara ini boleh menyambut dengan rasa muhibah dan meriah.

Perayaan Tahun Baru Cina ini juga menujukkan kedudukan tinggi yang diletakkan oleh masyarakat Cina terhadap orang-orang tua dan juga kepada institusi kekeluargaan. Masyarakat Cina juga mengamalkan sikap hormat-menghormati dan berbudi bahasa. Jika dilihat, amalan ini juga tidak hanya diamalkan oleh masyarakat Cina tetapi jugak amalan ini diamalkan oleh kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

YB Dato' Dr Mah Hang Soon juga berkata bahawa, kita sebagai rakyat haruslah tekad untuk memperbaharui diri dan sentiasa melangkah ke hadapan dengan penuh rasa semangat. Ini juga akan dapat mengukuhkan perpaduan yang menjadi lambang kekuatan negara sejak dahulu lagi.

Turut berangkat hadir dalam Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2015, DYTM Raja Muda Perak dan DYTM Raja Puan Besar Perak. Turut hadir YAB Menteri Besar Perak dan Isteri dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

tahunbarucina DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menyerahkan ang pau kepada anak yatim dari beberapa buah rumah kebajikan sekitar Ipoh.
tahunbarucina DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, DYTM Raja Muda Perak, dan YAB Menteri Besar Perak dalam upacara menggaul Yee Sang.
tahunbarucina DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut serta mencemar duli dalam upacara menggaul Yee Sang.
tahunbarucina DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah semasa gimik pelancaran Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2015 Peringkat Negeri Perak.
tahunbarucina Persembahan orkestra cina sempena Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Perak 2015.

Sumber: Korporat, SUK Perak.