Menara Condong Teluk Intan Diisytihar Warisan Kebangsaan : 28 Februari 2015

menaracondong
YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri DiRaja Tan Sri Hj. Muhyiddin Bin Mohd Yassin bersalaman bersama YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir .

TELUK INTAN, 28 FEBRUARI 2015 - Sempena sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2015 peringkat kebangsaan, YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Hj Muhyiddin Bin Hj Mohd Yassin mengumumkan Menara Condong Teluk Intan yang telah dibina pada tahun 1885 sebagai Warisan Kebangsaan.

“Keunikan menara ini adalah amat ketara sekali dengan konsep “Pagoda” yang menunjukkan pengaruh kekayaan budaya dan senibina Cina seperti pada gerbang, bumbung genting dan hiasan jubinnya.” kata YAB Timbalan Perdana Menteri.

 

YAB Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Hj Muhyiddin Bin Hj Mohd Yassin berkata, sejarah Menara Condong, Teluk Intan ini amat unik kerana fokusnya adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Ia dijadikan sebagai tangki air pada waktu kemarau dan juga mempunyai kemudahan memadam api. Jam yang terdapat pada menara ini juga merupakan lambang perpaduan rakyat Teluk Intan kerana ianya merupakan hasil sumbangan derma daripada penduduk tempatan pada ketika itu. Menara Condong ini juga menjadi salah satu tarikan kepada pelancong yang berkunjung di Negeri Perak seperti mana juga The Leaning Tower of Pisa yang menjadi tarikan pelancong di Itali.”

YAB Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Perbandaran Teluk Intan di atas kejayaan mendapatkan pengiktirafan Menara Condong Teluk Intan sebagai Warisan Kebangsaan.

Sehubungan dengan itu beliau berkata, kerajaan sedang giat dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa bagi menjadikan Menara Condong Teluk Intan sebagai salah satu warisan Dunia UNESCO.

“Sesungguhnya, usaha mengekalkan dan memelihara warisan dan budaya merupakan tanggungjawab kita bersama. Diharap ia juga akan dapat mempromosi Teluk Intan sebagai pusat tarikan pelancong dalam dan luar negara di masa akan datang.” kata YAB Timbalan Perdana Menteri.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli; YB Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Seri Mohamad Nazri Bin Abdul Aziz; YB Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai; YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Mah Siew Keong, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Kira-kira 20,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat hadir bagi memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2015 yang diadakan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan.

Sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan hiasan lampu dan tanglung berwarna-warni, persembahan tarian singa, tarian naga, pertunjukan bunga api, pameran dan demonstrasi pembuatan kraf.

menaracondong Orang ramai menyambut ketibaan YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri DiRaja Tan Sri Hj. Muhyiddin Bin Mohd Yassin.
menaracondong Persembahan tarian naga sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2015.
menaracondong YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri DiRaja Tan Sri Hj. Muhyiddin Bin Mohd Yassin menandatangi plak pengisytiharan Menara Condong Teluk Intan sebagai Warisan Kebangsaan.
menaracondong YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri DiRaja Tan Sri Hj. Muhyiddin Bin Mohd Yassin bersama dif-dif kehormat dalam majlis menggaul Yee Sang.

Sumber: Korporat, SUK Perak.