Majlis Perasmian Kedai Bergerak 1 Amanjaya (KB1AJ) : 8 April 2015

Kedai Bergerak
Gimik perasmian Kedai Bergerak 1 Amanjaya disempurnakan oleh YAB Dato Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abdul Kadir.

IPOH, 8 APRIL - Perasmian Kedai Bergerak 1 Amanjaya telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abdul Kadir di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Kedai Bergerak 1 Amanjaya atau KB1AJ merupakan sebuah projek komuniti bagi membantu rakyat di pendalaman dan luar bandar bagi mendapatkan barang keperluan asas yang lebih rendah. KBA1AJ ini ialah hasil idea oleh YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang berkonsepkan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KRIM).

Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abdul Kadir menubuhkan KB1AJ ini bertujuan untuk meringankan beban rakyat di negeri ini berikutan kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini. Barangan yang dijual di kedai bergerak ini dijual 5% lebih murah berbanding harga pasaran semasa. Selain itu, harga barangan yang dijual juga tidak dikenakan cukai Barang dan Perkhidmatan atau dikenali sebagai GST.

Kedai Bergerak 1 Amanjaya yang telah dilancarkan selama setahun ini merupakan hasil kerjasama di antara Kerajaan Negeri Perak dengan Yayasan Bina Upaya Negeri Perak. KB1AJ ini juga diperkenalkan bagi membolehkan barang keperluan asas tersebut diedarkan secara bergerak melalui pendekatan KR1M yang di selia oleh Kerajaan.

Antara lokasi yang dikenalpasti bagi KB1AJ ini ialah kawasan pasar malam, pasar pagi, pasar tani, padang, perkarangan masjid, dewan orang ramai dan tapak-tapak lain yang akan dikenalpasti dari semasa ke semasa. Pada masa ini, pergerakan KB1AJ telah meliputi 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh kawasan pendalam Perak.

Bermula dengan penjualan sebanyak 22 jenis barangan keperluan asas pada peringkat awal operasinya, kini Kedai Bergerak 1 AmanJaya telah mempertingkatkan jenis barangan yang boleh diperolehi oleh para pelanggan. Barangan ini juga akan bertambah selari dengan permintaan pelanggan yang tinggi pada masa akan datang.

Kedai Bergerak Sesi penerangan oleh kakitangan Yayasan Bina Upaya sambil disaksikan oleh ahli Exco Kerajaan Negeri.
Kedai Bergerak YAB Dato Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abdul Kadir bergambar di Kedai Bergerak 1 Amanjaya bersama Exco Perak yang lain.
Kedai Bergerak YAB Dato Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abdul Kadir melihat barangan yang dijual di Kedai Bergerak 1 Amanjaya.
Kedai Bergerak YAB Dato Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abdul Kadir melihat barang-barang yang dijual di Kedai Bergerak 1 Amanjaya.

Sumber: Korporat, SUK Perak.