Memahami Peranan Dan Tanggungjawab Pasukan Keselamatan – YAB Menteri Besar Perak : 25 Jun 2015


YAB Menteri Besar Perak, Dato Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir bergambar bersama pasukan keselamatan dan pasukan beruniform.

IPOH, 25 Jun 2015 – YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir menyeru rakyat dan anggota-anggota perkhidmatan awam supaya memahami peranan dan tanggungjawab anggota keselamatan yang bertugas sepanjang masa tanpa mengira waktu ataupun sempadan demi menjaga keamanan negara ini.

YAB Menteri Besar Perak berkata, rakyat di negara ini tidak sepatutnya memandang mudah dan rendah sumbangan yang diberikan oleh anggota-anggota keselamatan.

“Macam-macam tuduhan yang dilemparkan dan anggota keselamatan di negara ini dilihat dari sudut kaca mata yang negatif. Demikian juga ada mengatakan pasukan-pasukan keselamatan, tentera kita yang kurang berkeupayaan, tidak mempunyai kepakaran-kepakaran teknikal dan sebagainya ataupun peralatan-peralatan canggih.” kata YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir ketika Majlis Penyerahan Juadah Raya 2015 Kepada Pasukan Keselamatan & Pasukan Beruniform Sumbangan Kerajaan Negeri dan BAIDURI Perak di Dewan Bankuet SUK Perak.

Menurut YAB Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir, rakyat perlulah yakin kepada pasukan keselamatan di negara ini, kerana soal keselamatan negara merupakan pekara serius dan seharusnya anggota awam dan pasukan keselamatan bersatu padu demi mempertahankan sebuah negara yang berdaulat.

Pada Majlis Penyerahan Juadah Raya 2015 Kepada Pasukan Keselamatan & Pasukan Beruniform itu, sebanyak 15,589 kotak makanan diedarkan kepada 16 pasukan keselamatan dan beruniform antaranya Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan AM (PGA), Pasukan Polis Marin (PGM), Markas 2 Briged, Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM), Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Di Raja, Jabatan Penjara Taiping, Kem Tahanan Taiping/ Pusat Koreksional Kamunting, Jabatan Penjara Tapah dan Jabatan Penjara Batu Gajah.

Terdahulu sebelum Majlis Penyerahan Juadah Raya 2015 Kepada Pasukan Keselamatan & Pasukan Beruniform, seramai 1,100 petugas daripada perbagai agensi Kerajaan dan NGO bergotong-royong membungkus juadah raya di Dewan Bankuet, SUK Perak.

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir menyerahkan kotak juadah raya kepada Tentera Laut Di Raja Malaysia.

YAB Menteri Besar Perak menyerahkan Juadah Raya Kepda Ketua Polis Perak.

Seramai 30 petugas dari PERKEP Perak terlibat ketika proses pembungkusan juadah raya di Dewan Bankuet SUK Perak.

Petugas daripada Jabatan Kesihatan turut membantu membungkus juadah raya untuk diedarkan kepada pasukan keselamatan dan beruniform.

Yang DiPertua BAIDURI Perak Datin Seri DiRaja Saripah binti Zulkifli dan Pengerusi PUSPANITA Perak YBhg Datin Seri Nor Hasmah Mohamad turut serta membungkus juadah raya.

 Sumber: Korporat, SUK Perak.