Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan : 6 Ogos 2015

Majlis Pecah Tanah Sekolah Tahfiz
YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir melihat pelan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Batang Padang yang bakal siap tahun 2017.

BATANG PADANG, 6 OGOS 2015 - YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di Daerah Batang Padang yang dijangka dapat menampung kira-kira 300 orang pelajar.

YAB Menteri Besar Dato’ Seri Dr Zambry bin Abdul Kadir berkata sekolah menengah tahfiz yang bakal dibina bagi setiap daerah ini adalah untuk kemudahan pelajar bagi menyambung pengajian di sekolah menengah agama milik kerajaan negeri.

"Setakat ini sekolah terbabit dibangunkan di Pulau Pangkor bagi daerah Manjung yang menelan kos RM10 juta, hampir 90 peratus siap dan dijangka mula beroperasi tahun depan.

"Selepas ini kita akan mengadakan program pecah tanah di kawasan Bagan Datoh bagi Dewan Undangan Negeri Rungkup dan juga di beberapa kawasan lain.” kata YAB Menteri Besar Perak.

Pembinaan projek ini merupakan salah satu daripada usaha kerajaan negeri untuk melahirkan golongan professional berteraskan Islam khususnya bagi anak-anak Negeri Perak. Sekolah yang berkonsepkan asrama penuh ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti padang, dewan serbaguna, asrama pelajar, dewan makan, surau dan lain-lain kemudahan asas.

Selain Daerah Batang Padang, terdapat 5 daerah lain yang terlibat dengan projek Pembangunan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan iaitu Daerah Kerian, Kuala Kangsar, Hulu Perak, Selama , dan juga Hilir Perak.

Majlis Pecah Tanah Sekolah Tahfiz

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir  bersama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan meninjau pelan pembinaan Sekolah Menengah Tahfiz di Daerah Batang Padang.

Majlis Pecah Tanah Sekolah Tahfiz

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir menyempurnakan  Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan.

Majlis Pecah Tanah Sekolah Tahfiz

YAB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Bin Abd Kadir bergambar bersama pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Daerah Batang Padang.

Sumber: Korporat, SUK Perak.