Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2015 Disambut Meriah : 31 Ogos 2015


Hari Kebangsaan
DYMM Tuanku bersama anaknya turut mengibarkan jalur gemilang.

IPOH, 31 OGOS 2015 - Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2015 yang diadakan di perkarangan Dewan Bandaran, Jalan Panglima Bukit Gantang Ipoh disambut meriah dengan kehadiran orang ramai yang membanjiri kawasan hadapan dataran sejak awal pagi lagi. Dianggarkan kira-kira 10,000 rakyat Perak hadir di perkarangan Dewan Bandaran Ipoh bagi menyambut sambutan Hari Kebangsaan Peringkat yang bertemakan Sehati Sejiwa.

Acara sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2015 dimulakan sebaik keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta putera dan puteri baginda, YTM Raja Kecil Besar Perak, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya kira-kira jam 8.15 pagi.

Sambutan dimulakan dengan Pemeriksaaan Kawalan Kehormatan Utama, Rejimen Askar Jurutera DiRaja oleh DYMM Sutlan Perak disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu kebesaran Negeri Perak.

Majlis sambutan diteruskan dengan bacaan ikrar Hari Kebangsaan oleh Pelajar Tingkatan 6, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Ipoh di hadapan pentas utama sebelum persembahan nyanyian koir seramai 120 orang pelajar dari 3 buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sam Tet, Sekolah Menengah Tarcision Convent dan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent ipoh.

Seterusnya sambutan diteruskan lagi dengan persembahan pentomin bertemakan “Sehati Sejiwa” yang dilakonkan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak , pelajar-pelajar sekolah, pekerja swasta dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Acara kemuncak Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2015 diteruskan dengan perarakan masuk 114 kontinjen dari pelbagai jabatan dan agensi, membabitkan 6,500 peserta bagi menyertai acara perbarisan sempena sambutan hari kebangsaan.

Antara kontinjen yang mengambil bahagian adalah kontinjen dari Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi-agensi kerajaan serta swasta, pertubuhan bukan kerajaan, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah.

Turut berangkat hadir bagi memeriahkan sambutan, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, dan isteri DYTM Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, DYAM Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris Shah dan isteri DYAM Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri S.K Devamany, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan dan barisan exco kerajaan negeri.

Pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan kali ini, Majlis Bandaraya Ipoh dipilih selaku Johan Kawad Terbaik bagi kategori Jabatan dan Agensi Kerajaan diikuti Pejabat Tanah dan Galian Perak (PTG) selaku naib johan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak ditempat ketiga.

Kontinjen kawad SUK Perak pula dipilih selaku pemenang di tempat ketiga bagi Kategori Pakaian Terbaik Keseluruhan Kontinjen yang mengambil bahagian setelah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dipilih selaku johan dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak ditempat kedua bagi kategori sama. 

Hari Kebangsaan

Johan Kawad Kategori Pejabat Daerah dan Tanah dijuarai oleh Kontinjen Daerah Kinta.

Hari Kebangsaan

Majlis Bandaraya Ipoh Johan Kawad Kategori Jabatan.

Hari Kebangsaan

Telekom Malaysia Johan Kawad Kategori Syarikat Swasta.

Hari Kebangsaan

Kampung Tersusun Klebang Selatan Batu 6 Chemor Johan Keceriaan Kampung Sempena Hari Kebangsaan.

Hari Kebangsaan

DYMM Tuanku Menyerahkan Cek sumbangan Kempen Tabung Pahlawan.

Sumber: Korporat, SUK Perak.