Kualiti Perkhidmatan Kaunter Agensi Kerajaan Di Negeri Perak Cemerlang : 27 Oktober 2015


Kualiti Perkhidmatan Kaunter Agensi Kerajaan Di Negeri Perak Cemerlang
YBhg Ketua Pengarah MAMPU menyampaikan sijil penghargaan kepada YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) selaku wakil agensi dari SUK Perak.

IPOH, 27 OKTOBER 2015 - Sebanyak 16,513 maklumbalas telah diterima dengan 99.34% pelanggan memberi penilaian cemerlang dan memuaskan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi di bawah Kerajaan Negeri Perak melalui Sistem Penilaian Kepuasan Pelanggan Secara Elektronik (eRating).

YBhg. Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Dato’ Seri Zainal Rahim bin Seman berkata, Penilaian Sistem eRating di Negeri Perak yang telah mula dilaksanakan di kaunter-kaunter terpilih mulai dari Mei 2015.

YBhg. Ketua Pengarah MAMPU, Dato’ Seri Zainal Rahim bin Seman berkata, pencapaian di Negeri Perak ini merupakan suatu pencapaian yang sangat membanggakan, dan ia membuktikan pentadiran Kerajaan Negeri Perak memberikan perhatian yang cukup serius dalam usaha menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Perluasan pelaksanaan Sistem eRating melibatkan 1,000 kaunter daripada 30 agensi termasuk agensi-agensi Kerajaan di Negeri Perak sebagai rakan strategik dalam projek peluasan sistem eRating ke seluruh negara. MAMPU telah membekalkan 273 unit tablet eRating di 36 agensi Kerajaan seluruh Negeri Perak bermula pada 4 Februari 2015.” kata YBhg. Dato’ Seri Zainal Rahim bin Seman semasa Majlis Penghargaan Pelaksanaan Sistem eRating di Agensi Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan. 

Majlis Penghargaan Pelaksanaan Sistem eRating adalah program anjuran MAMPU dengan kolaborasi bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bertujuan memberi penghargaan atas usahasama yang diberikan oleh semua agensi Kerajaan Negeri Perak terhadap pelaksanaan sistem eRating.

Turut hadir pada majlis tersebut, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan, dan YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Razali bin Othman.

Terdahulu sebelum Majlis Penghargaan Pelaksanaan Sistem eRating, YBhg. Ketua Pengarah MAMPU melakukan kunjungan hormat ke atas YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan.

Sistem eRating ini yang dibangunkan dengan menggunakan kepakaran dalaman MAMPU dan telah berjaya menjimatkan kos pembangunan kerajaan sebanyak RM300,000.00 bagi setiap agensi yang menggunakannya.

Server sistem eRating ditempatkan di Pusat Data Sektor Awam dan semua maklum balas dari pelanggan yang membuat penilaian melalui sistem ini akan di salurkan terus ke MAMPU. Pihak agensi dan stakeholder boleh mendapatkan data/maklum balas tersebut pada bila-bila masa untuk pemantauan dan penambahbaikan.

Melalui pelaksanaan Sistem eRating ini, agensi akan dapat meningkatkan imej dan prestasi penyampaian Kerajaan khususnya di kaunter perkhidmatan, menambah baik kualiti perkhidmatan kaunter berasaskan persepsi daripada maklum balas pelanggan, meningkatkan persaingan dalam kalangan agensi untuk menambah baik mutu perkhidmatan kaunter, dan menjimatkan masa pelanggan membuat penilaian terhadap perkhidmatan yang diterima di kaunter agensi kerajaan.

Kualiti Perkhidmatan Kaunter Agensi Kerajaan Di Negeri Perak Cemerlang

YBhg. Ketua Pengarah MAMPU, Dato' Seri Zainal Rahim bin Seman ketika kunjungan hormat beliau ke atas YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir. 

Kualiti Perkhidmatan Kaunter Agensi Kerajaan Di Negeri Perak Cemerlang

YBhg. Ketua Pengarah MAMPU, Dato' Seri Zainal Rahim bin Seman mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Kualiti Perkhidmatan Kaunter Agensi Kerajaan Di Negeri Perak Cemerlang

YBhg Ketua Pengarah MAMPU dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri bergambar bersama wakil-wakil agensi penerima sijil penghargaan sistem eRating.

Sumber: Korporat, SUK Perak.