7 Fokus Utama Bajet 2016 Perak : 17 November 2015


7 Fokus Utama Bajet 2016 Perak : 17 November 2015
YAB Menteri Besar Perak ketika membentangkan Bajet 2016 Negeri Perak di Dewan Negeri.

IPOH, 17 NOVEMBER 2015 - Bertemakan Belanjawan Berhemah, Rakyat Sejahtera, Kerajaan Negeri Perak menggariskan tujuh fokus utama dalam Bajet 2016 iaitu memperkasa pertumbuhan ekonomi; memantapkan urus tadbir; mengupayakan pendidikan, modal insan, potensi generasi muda dan wanita; memperteguh integrasi dan keharmonian; memperkukuh jaringan infrastruktur; mensejahterakan kehidupan serta menyemarakkan syariat.

Bajet 2016 Perak itu disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir ketika ucapan Bajet 2016 Sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri ke-13.

“Bertemakan Belanjawan Berhemah, Rakyat Sejahtera, Bajet Tahun 2016 ini dirangka berteraskan pertanggungjawaban, keberkesanan, kecekapan dan penyelarasan. Teras-teras ini merupakan elemen penting dalam tadbir urus yang baik.” kata YAB Menteri Besar Perak.

Menurut YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambri Bin Abd Kadir, dengan mengambil kira unjuran Hasil dan Terimaan Pembangunan, berjumlah RM1.04 billion serta Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan berjumlah RM1.08 billion, Bajet Negeri Perak Tahun 2016 diunjurkan sebagai bajet defisit sebanyak RM 49.18 juta.

Menurut YAB Menteri Besar Perak lagi, walaupun Bajet Tahun 2016 menganggarkan defisit sebanyak RM49.18 juta, berbanding RM50.06 juta pada tahun 2015, iaitu pengurangan anggaran defisit sebanyak RM883 ribu tau 1.76 peratus.

“Rekod prestasi belanjawan Negeri Perak sejak tahun 2010 menunjukkan kecapaian yang baik, iaitu mengakhiri bajet tahunanya dengan lebihan (surplus), sekalipun diperingkat penyediaan bajet menganggarkan defisit.

Prestasi yang positif itu adalah terhasil dari amalan berhemah serta kecekapan dalam pengurusan kewangan negeri. Oleh itu, sekalipun Bajet Tahun 2016 ini merupakan belanjawan defisit, kerajaan negeri sekali lagi berharap ia akan berakhir dengan lebihan (surplus) atau setidak-tidaknya berimbang. ” kata YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambri Bin Abd Kadir.

Dalam usaha memperkasa pertumbuhan ekonomi, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambri Bin Abd Kadir berkata, kerajaan negeri komited untuk meneruskan beberapa rancangan pembangunan yang melibatkan pembangunan koridor pertumbuhan.

Antaranya, memajukan Bandar Meru Raya sebagai pusat pertumbuhan dan bagi 2016 kajian dilaksana di 12 kawasan baharu untuk dibangunkan iaitu Sungai Manik, Gunung Mesah, Pengkalan Baharu Pantai Remis, Tanjong Belanja, Kampong Plang, Padang Changkat, Sungai Lesong, Kampong Jelai, Kuala Slim, Lintang, Kuala Kurau dan Sungai Renggam.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM3 juta bagi membiayai program pelancongan sukan dan menambah RM1.5 juta bagi menaik taraf serta menyelenggara tempat-tempat menarik, mengikuti latihan dan melaksanakan promosi di dalam dan luar negara.

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambri Bin Abd Kadir berkata, peruntukan bagi sektor pertanian ditambah RM500,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM8.5 juta, yang disalur melalui Jabatan Pertanian Negeri dalam usaha menjadikan Perak pengeluar makanan utama negara.

7 Fokus Utama Bajet 2016 Perak : 17 November 2015

YB Yang Dipertua Speaker Dewan Negeri Perak, Dato' Sri S.K Devamany ketika mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri ke-13 berlangsung. 

7 Fokus Utama Bajet 2016 Perak : 17 November 2015

YAB Menteri Besar Perak memegang buku Ucapan Bajet 2016 untuk dibentangkan semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri ke-13.

Sumber: Korporat, SUK Perak.