Laksanakan Integriti Secara Menyeluruh : 12 November 2015


Integriti
YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan,Dato' Haji Razali Bin Othman ketika menyampaikan ucapan dimajlis tersebut.

IPOH, 12 NOVEMBER 2015 - YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Razali Bin Othman berkata integriti haruslah dilaksanakan secara menyeluruh di dalam setiap amalan budaya kerja seperti integriti dalam ketepatan waktu, menyampaikan maklumat, memberikan perkhidmatan terbaik dan integriti dalam di dalam hubungan komuniti bekerja.

“Integriti kerja dalam organisasi itu adalah satu budaya etika, dan integriti amat penting dalam mana-mana organisasi kerana ia memastikan pelaksanaan apa jua program serta matlamat dapat dicapai dengan baik serta beretika. Antara objektifnya adalah untuk memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha membina masyarakat yang bersatu padu, berharmorni, berintegriti, bermoral dan beretika.” kata YBhg. Dato’ Haji Razali Bin Othman sempena Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Perak Tahun 2015 yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Menurut beliau lagi, terdapat beberapa perinsip ataupun kriteria yang perlu dilaksanakan dan diberi perhatian bagi membentuk suatu budaya kerja yang berkualiti. Antaranya ialah seperti orientasi warga kerja, komitmen dalam tugas, melakukan kerja sepenuh hati, tetapan minda dan menghayati serta mempraktikan amalan-amalan pengurusan yang boleh meningkatkan kecemerlangan organisasi.

“Bagi kita membentuk suatu budaya kerja yang berkualiti, beberapa prinsip ataupun kriteria perlu kita laksanakan dan beberapa ciri penting harus diberi perhatian. Pertamanya, orientasi warga kerja haruslah bergerak di atas landasan yang betul sebagai prasyarat bagi menjayakan budaya kerja cemerlang iaitu mesti ada komitmen, mempunyai kesedaran, bersedia menerima perubahan dan tiada batasan masa untuk cemerlang.

Kedua, komitmen segala lapisan warga kerja bagi meningkatan kecemerlangan organisasi adalah amat-amat dituntut. Ketiga, kerja yang hendak dilaksanakan perlu dilakukan dengan sepenuh hati atas kehendak organisasi dengan mengenepikan segala kepentigan lain khususnya kepentingan peribadi. Keempat, semua organisasi mewujudkan mind set yang berorentasikan kecemerlangan supaya warga kerja kita lebih komited kepada matlamat utama jabatan. Dan yang terakhir, ialah kita perlu sentiasa menggalakkan warga kerja menghayati serta mempraktikan amalan-amalan pengurusan yang boleh meningkatkan kecemerlangan organisasi.”

YBhg. Dato’ Haji Razali Bin Othman di akhir ucapan beliau turut menyeru penjawat awam, khususnya di Negeri Perak agar berpegang teguh kepada prinsip integriti kerana ia menggambarkan persepsi masyarakat terhadap integriti di kalangan penjawat-penjawat awam.

“Integriti itu perlu dibudayakan, ianya merupakan suatu etika yang amat penting. Jika etika ini kita ikut, kita pegang,dalam keadaan apa jua keadaan, dimana jua kita berada , tekanan atau desakan, kita sebagai penjawat awam akan sentiasa mematuhi prinsip, dasar- dasar dan prosedur yang telah ada.”

 

Integriti

Panel-panel yang dijemput khas sempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Perak 2015. 

Integriti

YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan menyampaikan cenderamata kepada panel jemputan, En. Zakaria bin Jaffar.

Integriti

YBhg. Dato' Haji Razali Bin Othman menyampaikan cenderamata kepada salah seorang panel, YBhg Datuk Ustaz Kazim bin Elias.

Integriti

YBhg. Dato' Haji Razali Bin Othman bergambar bersama panel-panel.

Sumber: Korporat, SUK Perak.