Tanjung Malim – Perintis Bandar Belia 1 Malaysia : 31 Januari 2016


Tanjung Malim – Perintis Bandar  Belia 1 Malaysia
YB Datuk Abdul Rahman Bin Dahlan melepaskan peserta berbasikal 1MYC.

TANJUNG MALIM, 31 JANUARI 2016 - Empat bandar akan ditukar menjadi Bandar Belia 1Malaysia (1MYC) dengan Tanjung Malim dan Putrajaya menjadi perintis disusuli oleh Tuaran,Sabah dan Lundu,Sarawak.

YB Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Bin Dahlan berkata, 1MYC adalah berkonsepkan bandar mesra belia bertujuan menarik golongan muda mendiami kawasan tersebut.

Menurut beliau lagi, pelbagai kemudahan akan disediakan untuk mereka seperti liputan perkhidmatan 4G, pusat seni selain akan turut membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan perkhidmatan rumah transit bagi membolehkan pasangan muda berpendapatan rendah menyewa rumah sementara.

“Kita juga menjemput pihak swasta seperti syarikat berkaitan kerajaan berkolaborasi dengan kita membangunkan bandar belia ini bagi mewujudkan pusat tarikan untuk orang muda.” kata YB Datuk Abdul Rahman Bin Dahlan.

Selain itu YB Datuk Rahman Bin Dahlan berkata 18 projek bakal dilaksanakan di Tanjung Malim seperti pusat seni, pengindahan Sungai Bernam, pusat pembangunan keusahawanan, kawasan rekreasi ‘townpark’ dan ‘townsquare’, kompleks sukan mini, arena square, gelanggang go kart, serta pusat pengetahuan dan kemahiran yang ditawarkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

YB Datuk Rahman Bin Dahlan semasa sidang media berharap orang ramai tidak keliru dengan konsep projek Bandar Belia (1MYC) yang dibangunkan kerajaan kerana ia usaha transformasi menggunakan konsep mesra belia terhadap lokasi sedia ada, bukannya pembinaan kawasan perbandaran baru.

Turut hadir ketika lawatan YB Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke sekitar Tanjung Malim ialah YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan.

Projek Bandar Belia antara inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang turut disokong Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Tanjung Malim – Perintis Bandar  Belia 1 Malaysia

YB Datuk Abdul Rahman Dahlan mewarna salah satu lukisan kartun di dinding sempena lawatan beliau ke Tanjung Malim.

Tanjung Malim – Perintis Bandar  Belia 1 Malaysia

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan turut serta ketika lawatan YB Datuk Abdul Rahman ke sekitar Tanjung Malim.
Tanjung Malim – Perintis Bandar  Belia 1 Malaysia YB Datuk Abdul Rahman Dahlan melawat Sarang Art Hub yang diuruskan oleh pengarah filem terkenal, Mamat Khalid.

Sumber: Korporat, SUK Perak.