Perak Terus Bangunkan Rumah Mampu Milik : 1 Februari 2016


Perak Terus Bangunkan Rumah Mampu Milik
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir ketika  majlis pelancaran  projek Suria@ Meru di Amanjaya Convention Centre (AJCC), Casuarina Meru.

IPOH, 1 FEBRUARI 2016 - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) melaksanakan projek perumahan Suria @ Meru yang bakal menawarkan 413 unit kediaman, dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air dengan keluasan antara 1,600 hingga 1,670 kaki persegi yang bakal dibina di kaki bukit Hutan Simpan Kledang Sayong, Meru dengan harga jualan bermula dari RM 263,800 hingga RM 273,800.

Majlis pelancaran projek Suria @ Meru disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir di Amanjaya Convention Centre (AJCC), Casuarina Meru.

YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir berkata, Perak akan terus membangunkan rumah mampu milik mengikut cara sendiri bagi memastikan rakyat mampu memiliki kediaman sendiri.

Kata beliau, langkah itu perlu berikutan pelasksanaan projek berkenaan oleh Syarikat Perumahan Negara (SPNB) dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) terlalu perlahan, malah ada yang tertangguh sekali gus memberi impak negatif kepada kerajaan.

Dalam masa sama, YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir turut meminta Kerajaan Persekutuan mengeluarkan satu garis panduan mengenai kategori rumah mampu milik ekoran takrifannya di setiap negeri adalah berbeza ketika ini.

“Terdapat negeri yang mengkategorikan rumah mampu milik dalam lingkungan RM 300, 000, ada yang dalam RM250, 000, ada pula yang meletakkan pada paras RM 180, 000, jadi ia tidak memberikan gambaran secara keseluruhan.

Saya melihat dari segi kategori rumah mampu milik juga bersandarkan kepada negeri itu sendiri. Umpamanya ada yang menjual rumah mampu milik pada kadar RM 300,000 tapi keluasannya juga besar. Ada negeri menjualnya dengan harga yang lebih murah sekitar RM 180,000 dan RM 200,000 tetapi keluasannya kecil.

Namun dalam konteks kerajaan negeri, saya rasa kategori rumah mampu milik juga dapat difikirkan balik oleh pihak Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) iaitu sekitar RM 250, 000.” kata YAB Menteri Besar Perak.

Turut hadir ke Majlis Pelancaran Suria @ Meru, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan, YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Rusnah Binti Kassim dan Ketua Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) , Datuk Aminuddin Bin Md. Desa

Perak Terus Bangunkan Rumah Mampu Milik

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir diberi taklimat dan penerangan mengenai Suria@Meru.

Perak Terus Bangunkan Rumah Mampu Milik

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir  melihat model rumah Suria@Meru yang bakal dibina.
Perak Terus Bangunkan Rumah Mampu Milik YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd Kadir  bersama YB Dato' Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan melihat Portal Rumahku Amanjaya yang baru dilancarkan.

Sumber: Korporat, SUK Perak.